
Menyifatkan Daim sebagai sahabat bersama dalam berjuang demi bangsa, negara dan agama, Mahathir berkata tokoh ekonomi itu sepatutnya disanjung kerana sumbangannya kepada negara.
“Saya sedih tidak terhingga. Sepatutnya dia disanjung kerana sumbangannya kepada perjuangan tetapi di akhir hayatnya dia diherdik tanpa sebab.
“Inikah balasan yang menimpa kerana dendam,” katanya dalam kenyataan.
Bekas Ahli Parlimen Langkawi itu berkata beliau hanya mampu berdoa agar Daim diadili berasaskan keadilan.
“Berilah tempat kepadanya di akhirat sebagai pejuang bangsa. Saya hanya mampu berdoa. Akan kita bersama kembali di masa tertentu,” katanya.
Daim berkhidmat sebagai menteri kewangan dua kali dilaporkan meninggal dunia pada 8.21 pagi di Hospital Assunta, Petaling Jaya. Penggal pertama berkhidmat pada 1984 hingga 1991 bawah pentadbiran Mahathir, di mana beliau memainkan peranan penting dalam menguruskan ekonomi dan melaksanakan pelarasan struktur.
Beliau kembali untuk penggal kedua dari 1999 hingga 2001, sekali lagi bawah Mahathir, untuk menangani isu ekonomi berikutan krisis kewangan Asia.
Awal tahun ini, Daim dan isteri Naimah Khalid didakwa di mahkamah atas tuduhan gagal mematuhi terma notis perisytiharan harta dikeluarkan bawah Seksyen 36(2) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.
Beliau dituduh tidak mengisytiharkan harta termasuk beberapa kenderaan mewah, syarikat dan hartanah di sekitar Kuala Lumpur, Selangor, Pahang, Negeri Sembilan, Perak dan Kedah.
Bulan lalu, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur mengarahkan Daim hadir pada perbicaraan yang diteruskan untuk menentukan sama ada beliau perlu menjalani penilaian mental bagi memastikannya layak untuk dibicarakan.
Hakim Azura Alwi menetapkan tarikh 20 Nov ini untuk mendengar hujah tambahan.