
Zahanizam Rohan, 51, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di depan Hakim Syarie Sabarudin Bidin yang turut memutuskan penjara dua bulan, jika tertuduh gagal membayar denda.
Mengikut pertuduhan, Zahanizam didakwa mengajar agama Islam berkaitan tauhid di sebuah madrasah di Kampung Ulu Beting tanpa tauliah mengajar daripada Jawatankuasa Tauliah yang ditubuhkan bawah Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Sembilan) 2003 antara Disember 2021 hingga September lalu.
Dia didapati bersalah mengikut Seksyen 53 Enakmen-enakmen Jenayah Syariah (Negeri Sembilan) 1992 Pindaan 2019, iaitu mengajar agama tanpa tauliah yang memperuntukkan penjara maksimum dua tahun atau denda tidak lebih RM3,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Sabarudin berkata, tujuan pemerintah meletakkan undang-undang berkaitan tauliah dan agama untuk menjaga kemaslahatan supaya tidak berlaku kerosakan kepada orang Islam, jika ajaran itu bercanggah Ahli Sunnah Wal Jamaah yang boleh menjadi kanser dan merosakkan masyarakat.
“Jadi sebagai pengajaran, maka suatu hukuman diberikan supaya tertuduh insaf dan bertaubat tidak melakukan kesalahan seperti ini lagi,” katanya.
Terdahulu, Zahanizam dalam rayuannya memohon dikenakan denda paling rendah dan tidak dipenjarakan kerana tidak bekerja serta menanggung 12 anak dan seorang isteri, selain menjalani proses pemurnian akidah di sebuah pusat pemulihan akidah di Ulu Yam, Selangor selama tiga bulan.
Pendakwa Syarie Kanan, Zarul Izham Jaapar bagaimanapun meminta hukuman berat memandangkan kesalahan itu berlaku dalam tempoh lama dan tertuduh sewajarnya tahu apa jua pengajaran, terutama ajaran Islam mesti melalui sistem pentauliahan ditetapkan kerajaan.
“Pihak pendakwa memandang serius isu ini yang turut tular dan diambil berat pemerintah. Saya mohon hukuman berat kepada tertuduh sebagai pengajaran kepadanya dan sesiapa sahaja yang tidak memiliki tauliah mengajar supaya mendapatkan tauliah, sekali gus tidak berlaku sebarang ajaran menyeleweng.”