Tak perlu lantik veteran tentera jadi warden UPNM, kata menteri

Tak perlu lantik veteran tentera jadi warden UPNM, kata menteri

Menteri pertahanan ulas cadangan Ahli Parlimen Ketereh supaya veteran tentera dilantik sebagai warden susulan kes buli di UPNM.

Menteri Pertahanan Khaled Nordin berkata pelajar terbabit buli akan dikenakan tindakan tegas termasuk dibuang dan wajib membayar balik kos sepanjang pengajian.
KUALA LUMPUR:
Tiada keperluan melantik veteran tentera sebagai warden di Akademi Latihan Ketenteraan (ALK) Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) bagi menangani isu buli dalam kalangan pelajar.

Menteri Pertahanan, Khaled Nordin, berkata untuk kadet ketuanya dilantik dalam kalangan mereka sendiri sambil dipantau pegawai di ALK.

“Tidak sampai ke situ, tiada keperluan lantik veteran jadi warden di ALK,” katanya dalam sidang media sempena Majlis Sambutan Hari Integriti Kementerian Pertahanan 2024.

Mengulas cadangan pengurusan UPNM dirombak sebagai salah satu langkah menangani kes buli yang berulang, Khaled berkata perkara itu bawah Kementerian Pendidikan Tinggi.

Ditanya sama ada pentadbiran di ALK juga akan dirombak, beliau berkata pihaknya akan melihat laporan penuh siasatan sebelum tindakan selanjutnya.

Terdahulu, Ahli Parlimen Ketereh, Khlir Mohd Nor, menggesa pengurusan UPNM dirombak bagi menangani isu buli dalam kalangan pelajar di institusi berkenaan.

Beliau juga mencadangkan veteran tentera dilantik sebagai warden kerana mereka mempunyai lebih banyak pengalaman.

Sementara itu, Khaled berkata hukuman keras termasuk dibuang dan wajib membayar balik segala kos tanggungan sepanjang pengajian akan dikenakan terhadap pelajar didapati bersalah dalam kes buli.

Katanya, tindakan itu disifatkan wajar bagi mengelakkan kes buli di UPNM berulang dan kementeriannya tidak akan berkompromi termasuk menyembunyikan kes buli.

Beliau berkata, pihaknya juga menambah prosedur operasi standard (SOP) termasuk pengasingan pelajar baharu dan senior sejak Januari lalu serta memasang kamera litar tertutup (CCTV) bagi mengelak kes buli.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.