Tiada apa nak sembunyi, kata Hajiji berkait kes Adun bincang rasuah

Tiada apa nak sembunyi, kata Hajiji berkait kes Adun bincang rasuah

Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor berkata kerajaan negeri sedia beri kerjasama kepada SPRM untuk siasat kes itu.

Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor berkata pihak yang menawarkan rasuah kepada Adun terbabit juga perlu disiasat dan dihukum. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor berkata tiada apa hendak disembunyikan susulan dakwaan beberapa Adun negeri itu membincangkan rasuah melibatkan lesen projek.

Hajiji berkata, kerajaan negeri pimpinan Gabungan Rakyat Sabah juga sedia memberi kerjasama khususnya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat kes itu.

“Kita akan bagi kerjasama tapi siasat juga (pihak berkaitan) yang memberi rasuah itu. Pemberi rasuah mempunyai niat tidak baik untuk mendapatkan sesuatu daripada kerajaan.

“Apabila tidak dapat, inilah keluar (rakaman audio) jadi bagi saya, untuk lebih adil, tangkap dia dan siasat dia dulu,” katanya menurut Harian Metro.

Hajiji berkata, kerajaan Sabah ketika ini masih berjalan dengan baik dan dakwaan dalam rakaman audio yang tular itu cuma tuduhan.

“Laporlah kepada SPRM. Kita tiada apa-apa untuk disembunyikan,” katanya.

Sebelum ini dilaporkan, lapan video muncul memaparkan perbincangan didakwa berkait rasuah antara ahli perniagaan dan beberapa Adun melibatkan lesen projek.

Jumaat lalu, seorang pegawai kanan SPRM dilaporkan bertemu seorang peguam yang memainkan rakaman audio berdurasi 17 saat, yang mana kedengaran beberapa orang sedang berbincang mengenai wang.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki, yang dipetik berkata peguam itu membayangkan yang anak guamnya sedia memberikan sejumlah bukti, namun dia mahu SPRM menandatangani persetujuan menyatakan dia (anak guam) tidak akan diletakkan bawah siasatan.

Namun, pegawai itu tidak setuju kerana ia bukan prosedur undang-undang.
Azam berkata, SPRM tidak boleh memberikan jaminan imuniti bertulis tanpa maklumat terperinci berkaitan perlakuan salah tersebut.

Katanya, saksi digesa membuat aduan rasmi, sekali gus membolehkan mereka dilindungi mengikut Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.