
Baginda bertitah, budaya buli tidak boleh dibiarkan berlarutan kerana bukan sahaja menjejaskan kesejahteraan pelajar, malah mencemarkan reputasi institusi pengajian tinggi.
Menurut Sultan Ibrahim, latihan keras dalam pasukan tentera perkara biasa bagi membina kekuatan mental dan jiwa, namun tidak bermakna ke tahap membuli individu lain sehingga menyebabkan kecederaan fizikal atau meragut nyawa.
“Kes buli di ALK UPNM bukan pertama kali dilaporkan berlaku, malah sebelum ini sudah terjadi beberapa kali sehingga meragut nyawa. Ini tindakan tidak berperikemanusiaan.
“Saya mahu Kementerian Pertahanan mengambil serius perkara ini kerana kes buli sudah beberapa kali berlaku di ALK UPNM,” titah baginda selepas menerima menghadap Menteri Pertahanan, Khaled Nordin di Istana Negara.
Jumaat lalu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Rusdi Mohd Isa mengesahkan menerima laporan penuntut tahun satu UPNM di Kem Sungai Besi mengalami keretakan tulang rusuk dan tulang belakang dipercayai dipijak penuntut senior.
Kejadian itu berlaku pada 21 Okt lalu, sehari selepas seorang penuntut UPNM melecur di badan akibat ditekap seterika oleh senior.
Minggu lalu, pegawai kadet senior ALK UPNM Amirul Iskandar Ahmad Norhanizan, 22, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mencederakan penuntut junior menggunakan seterika pada 22 Okt.
Pada 2017, kisah tragis dan kejam menggemparkan negara apabila pegawai kadet laut UPNM, Zulfarhan Osman Zulkarnain meninggal dunia selepas dibuli, dipukul dan diseksa dengan hampir seluruh badannya berulang kali ditekap seterika wap selepas dituduh mencuri sebuah komputer riba.
Susulan itu, enam bekas penuntut UPNM dijatuhkan hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Rayuan pada 23 Julai lalu kerana didapati membunuh Zulfarhan tujuh tahun lalu.