Sasar neutraliti karbon 2050, Mosti mahu manfaat nuklear sumber tenaga utama

Sasar neutraliti karbon 2050, Mosti mahu manfaat nuklear sumber tenaga utama

Hasrat beralih kepada tenaga nuklear sejajar pelan peralihan tenaga dan Dasar Tenaga Negara (NEP).

small modular
Kerajaan sebelum ini melihat teknologi nuklear sesuai untuk Malaysia, termasuk Reaktor Modular Kecil. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Sasaran mencapai neutraliti karbon menjelang 2050 menjurus Malaysia mempertimbang nuklear sebagai sumber tenaga utama, kata Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti).

Mosti dalam kenyataan, berkata langkah itu sebagai penyelesaian proaktif terhadap cabaran ‘trilema tenaga’ – memastikan kestabilan, kelestarian, dan kecekapan tenaga sejajar Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan Dasar Tenaga Negara (NEP).

“Dalam hal ini Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Petra) bersama Mosti telah dipertanggungjawabkan meneroka pembangunan tenaga nuklear, termasuk penyediaan kepakaran teknikal dan latihan.

“Mosti melalui Nuklear Malaysia dan Jabatan Tenaga Atom (Atom Malaysia) memainkan peranan penting dalam pembangunan teknologi nuklear serta aspek kawal selia.

Agensi Nuklear Malaysia mempunyai kepakaran yang boleh membantu aspek teknikal bagi pembangunan tenaga nuklear. Kepakaran dimiliki pegawai nuklear dalam pelbagai bidang teknologi nuklear dan juga teknologi yang berkaitan akan membantu negara terus beralih kepada teknologi nuklear,” katanya.

Mosti berkata, Malaysia optimis kepakaran sedia ada serta kerjasama antarabangsa dijalin akan membantu mempercepatkan pengadaptasian teknologi tenaga nuklear selamat dan efisien.

“Jika diterapkan, program tenaga nuklear ini bakal memperkukuhkan kedudukan Malaysia sebagai negara yang komited terhadap masa depan tenaga lestari dan neutraliti karbon,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Mosti memaklumkan pihaknya komited mempercepatkan peralihan Malaysia ke arah negara berteknologi serta berpendapatan tinggi, sekali gus mengukuhkan kedudukan negara sebagai peneraju bidang inovasi dan teknologi global, selaras peningkatan peruntukan Belanjawan 2025 diterima.

“Pada masa yang sama, Mosti turut menyasarkan peningkatan sumbangan penyelidikan pembangunan eksperimen dari 45.5% pada 2020 kepada 50% pada 2025 dengan fokus kepada pengkomersialan R&D,” katanya.

Katanya, Mosti juga akan memanfaatkan Dana Malaysia Science Endowment (MSE) untuk memadankan dana sektor swasta dengan industri dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC).

Langkah itu adalah usaha mengurangkan kebergantungan kepada dana kerajaan serta meningkatkan Perbelanjaan Kasar Penyelidikan dan Pembangunan (GERD) dan Kajian Penyelidikan dan Pembangunan Perusahaan Perniagaan (BERD) menjelang 2030.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.