Mahkamah benar Syed Saddiq dapat pasport ke Indonesia

Mahkamah benar Syed Saddiq dapat pasport ke Indonesia

Ahli Parlimen Muar itu mahu menghadiri sebuah forum di Jakarta dari 13 hingga 18 Nov ini.

Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman merayu terhadap sabitan atas tuduhan bersubahat melakukan pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram.
PUTRAJAYA:
Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mendapatkan pasportnya sementara untuk ke Indonesia menghadiri sebuah forum.

Hakim Che Ruzima Ghazali membenarkan permohonan itu hari ini selepas Timbalan Pendakwa Raya, Afif Ali memaklumkan mahkamah bahawa pihak pendakwaan tiada bantahan terhadap permohonan berkenaan.

Beliau turut bersidang bersama Hakim Azman Abdullah dan Azmi Ariffin.

Syed Saddiq memohon pelepasan sementara pasportnya untuk menghadiri sebuah forum di Jakarta mulai esok hingga 18 Nov ini.

Sebelum ini, Mahkamah Rayuan membenarkan pelepasan sementara pasportnya untuk lawatan kerja ke Thailand, Taiwan dan Singapura.

Pada November 2023, Syed Saddiq dijatuhkan hukuman penjara tujuh tahun dan denda RM10 juta selepas disabitkan bersalah atas tuduhan bersubahat melakukan pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram.

Hakim Azhar Abdul Hamid menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun dan satu sebatan bagi pertuduhan pecah amanah, manakala hukuman penjara dua tahun dan satu sebatan atas kesalahan salah guna harta Pemuda Bersatu.

Kedua-dua hukuman itu dilaksanakan berturut-turut yang bermakna beliau akan menjalani hukuman penjara lima tahun.

Azhar turut menjatuhkan hukuman penjara dua tahun dan denda RM5 juta masing-masing bagi dua pertuduhan pengubahan wang haram. Beliau mengarahkan kedua-dua hukuman itu berjalan serentak.

Hakim bagaimanapun membenarkan permohonan pihak pembelaan untuk menangguhkan hukuman sementara menunggu rayuan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.