
Ketua Polis Johor M Kumar, berkata semua suspek terdiri daripada tiga lelaki tempatan, dua wanita tempatan, dan dua wanita warga asing berumur 27 hingga 62 tahun itu ditahan menerusi serbuan di sekitar bandar raya ini, Iskandar Puteri, dan Kluang, pada 3 dan 4 Nov.
“Modus operandi sindiket edar dadah yang aktif beroperasi sejak Ogos tahun ini adalah dengan membungkus semula dadah yang diperoleh dari sumber luar itu dengan menggunakan peket bungkusan jenama minuman terkenal di pasaran untuk mengelirukan pihak polis dan agensi penguat kuasa.
“Sindiket ini mempunyai pelanggan tersendiri dengan pasarannya adalah di Johor dan kumpulan ini boleh dikategori sebagai pemborong yang besar. Sepeket dadah yang dibungkus dipercayai dijual antara RM200 hingga RM250,” katanya pada sidang media di IPK Johor.
Beliau berkata, dalam tiga serbuan itu, sebanyak 158,844.8g serbuk ekstasi; 21,510 biji pil disyaki ekstasi; 11,500 biji pil erimin 5 serta 110g ketamin dirampas dengan nilai berjumlah RM28.31 juta.
Kumar berkata polis turut menyita pelbagai barangan, antaranya peralatan memproses dan pembungkusan semula dadah, empat kereta, pelbagai barangan kemas serta wang tunai mata wang tempatan dan asing dengan nilai keseluruhan sitaan berjumlah RM263,205.
“Sindiket ini menjadikan rumah teres berpagar and dikawal sebagai stor penyimpanan dan pembungkusan semula dadah. Semua dadah dirampas ini boleh digunakan oleh 857,784 orang penagih.
“Hasil ujian saringan air kencing mendapati tiga daripada suspek positif amphetamine dan ketamin, manakala hasil semakan rekod lampau mendapati seorang suspek mempunyai rekod berkaitan dadah dan jenayah,” katanya sambil menambah semua tujuh suspek direman bermula 4 Nov sehingga Khamis.
Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, manakala dua suspek warga asing turut disiasat di bawah Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.