
Ahli Parlimen Kampar Chong Zhemin berkata Wee dari Barisan Nasional (BN) pada sidang Dewan Rakyat 7 Nov lalu mendakwa Rafizi memberikan dua jawapan berbeza berhubung peruntukan membangunkan Pangkalan Data Utama (Padu) iaitu RM85 juta dan RM31 juta.
Chong berkata Rafizi itu sehari sebelumnya sebenarnya telah memperbetulkan kenyataan Wee berhubung perkara itu sebelum ini termasuk di media sosial dengan menjelaskan pembangunan Padu setakat September lalu berjumlah RM31 juta bukan RM85 juta seperti didakwa.
“Ucapan Ahli Parlimen Ayer Hitam dengan jelas telah mendakwa menteri ekonomi telah memberi dua jawapan berbeza mengenai kos Padu iaitu RM85 juta dalam jawapan bertulis pada 1 Jul RM85 juta manakala RM31 juta semasa penggulungan kementeriannya pada 6 Nov.
“Ahli Parlimen Ayer Hitam telah mendakwa menteri ekonomi melanggar peraturan mesyuarat 36(12) dengan mengelirukan dewan,” kata wakil DAP itu dalam surat usul kepada Setiausaha Dewan Rakyat Nizam Mydin Bacha Mydin.
Merujuk kepada jawapan lisan dan laporan media, Chong berkata RM85.27 juta diumumkan Rafizi sebenarnya bagi tiga tahun pelaksanaan Padu bermula 2023 hingga 2025.
“Menteri ekonomi juga telah berucap dalam dewan pada 6 Nov bahawa setakat September 2024, kos pembangunan dan pelaksanaan PADU adalah RM31 juta.
“Ia jelas bahawa angka RM85.27 juta adalah anggaran kos untuk tempoh tiga tahun bermula 2023 hingga 2025 manakala RM31 juta untuk setakat September, dua angka ini tidak bercanggah,” katanya.
Tegasnya, jelas Ahli Parlimen Ayer Hitam telah melanggar peraturan 36(6) dan 36(12) mengelirukan dewan dan membuat sangkaan jahat terhadap menteri ekonomi yang kononnya memberi data salah serta dua angka berbeza tentang kos Padu.