Rayuan Halim Saad ditetapkan 18 Ogos

Rayuan Halim Saad ditetapkan 18 Ogos

Mahkamah Rayuan tetapkan 18 Ogos tahun depan untuk dengar rayuan Halim terhadap keputusan mahkamah yang tolak saman beliau terhadap Dr Mahathir Mohamad, dan dua pihak lain.

Pada 9 Mei lalu Mahkamah Tinggi benarkan permohonan Dr Mahathir Mohamad, Nor Mohamed Yakcop, dan kerajaan untuk batal saman Halim Saad.
PUTRAJAYA:
Mahkamah Rayuan menetapkan 18 Ogos tahun depan untuk mendengar rayuan tokoh korporat, Halim Saad, terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak saman beliau yang difailkan terhadap bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad, dan dua pihak lain.

Dalam saman tersebut, Halim mendakwa beliau mengalami kerugian susulan pengambilalihan saham Renong Bhd dan United Engineers Malaysia Berhad (UEM) oleh kerajaan pada 2001.

Peguam Halim, A Surendra Ananth, mengesahkan tarikh pendengaran tersebut ketika dihubungi Bernama.

Pada 9 Mei tahun ini, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan Mahathir, bekas menteri kewangan II Nor Mohamed Yakcop, dan kerajaan untuk membatalkan saman yang dikemukakan Halim, yang juga bekas pengerusi eksekutif dan pengarah Renong.

Dalam penyataan tuntutannya, Halim mendakwa beliau berniat untuk membuat tawaran am bagi menswastakan UEM sebagai anak syarikat Renong yang akan membolehkan beliau memperoleh kawalan dan milikan penuh ke atas UEM melalui Renong.

Beliau mendakwa diarahkan oleh Mahathir dan Nor Mohamed secara langsung supaya tidak meneruskan tawaran am kerana kerajaan ingin mengambil semua saham dalam UEM melalui Khazanah Nasional Berhad atau pihak yang akan dicalonkan oleh Khazanah.

Halim selanjutnya mendakwa beliau juga diarahkan untuk meninggalkan UEM dan Renong sebagai pemegang saham dan pengarah termasuk anak-anak syarikat kedua-dua syarikat tersebut, sekali gus memaksanya menyerahkan kawalan ke atas Renong dan UEM kepada kerajaan serta melupuskan sahamnya dalam Renong dengan kerugian.

Dalam memorandum rayuannya, tokoh korporat berusia 71 tahun itu berhujah bahawa pesuruhjaya kehakiman terkhilaf dari segi undang-undang dan fakta dalam memutuskan bahawa tuntutannya terhalang oleh prinsip ‘res judicata’ disebabkan tuntutannya sebelum ini di Mahkamah Tinggi.

Beliau juga berhujah pesuruhjaya kehakiman tersilap dari segi undang-undang dan fakta dalam memutuskan bahawa had masa terpakai bagi kesnya.

Dalam alasan penghakimannya, Pesuruhjaya Kehakiman Suzana Muhamad Said mendapati satu lagi kes saman difailkan Halim sebelum ini terhadap Khazanah, Nor Mohamed, dan kerajaan pada 2013 membabitkan isu sama, telah diputuskan mahkamah.

Dalam pernyataan pembelaan, ketiga-tiga defendan itu menafikan mengambil alih pemegangan saham tersebut kerana ia dipersetujui oleh Halim sendiri dengan pampasan sebanyak RM165 juta.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.