
Bekas peguam besar Sarawak Talat Mahmood Abdul Rashid dan penasihat undang-undang UiTM Hartini Saripan turut dilantik menganggotai jawatankuasa yang ditugaskan memilih calon sesuai menjadi hakim Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi.
Pelantikan dua tahun oleh perdana menteri itu, yang berkuat kuasa bulan ini, akan menyaksikan JAC dapat menyambung semula mesyuarat bulanannya bulan depan.
“Jawatankuasa itu tidak dapat melaksanakan fungsinya sejak September kerana tidak cukup kuorum,” kata sumber kepada FMT.
Pada September, FMT melaporkan bahawa JAC terumbang-ambing kerana terdapat lima kekosongan dalam suruhanjaya sembilan ahli itu.
Seksyen 13(1) Akta JAC menyatakan jawatankuasa itu hendaklah bermesyuarat sekurang-kurangnya sekali sebulan.
Menurut Seksyen 13(4) dan (5), kuorum mesyuarat mestilah terdiri daripada tujuh ahli, tetapi sekiranya ahli hilang kelayakan, kuorum akan dikurangkan kepada sekurang-kurangnya lima orang.
Sejak September, JAC hanya tinggal empat orang ahli, termasuk pengerusinya Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat, Presiden Mahkamah Rayuan Abang Iskandar Abang Hashim dan Hakim Besar Sabah dan Sarawak Abdul Rahman Sebli.
Ketiga-tiga hakim ini, bersama-sama dengan hakim besar Malaya – jawatan yang sebelum ini kosong – menganggotai JAC atas dasar mereka memegang jawatan tertinggi dalam badan kehakiman.
Seorang lagi ahli JAC ialah Nallini Pathmanathan, hakim kanan Mahkamah Persekutuan yang dilantik bagi tempoh dua tahun mengikut Seksyen 5(1)(e).
Kekosongan dalam JAC berlaku berikutan persaraan Zabidin Diah sebagai hakim besar Malaya pada Februari, dan bekas ketua hakim negara Raus Sharif dan profesor madya Universiti Islam Antarabangsa Shamrahayu Ab Aziz tidak dilantik semula untuk penggal kedua, walaupun layak.
Raus dan Shamrahayu dilantik menganggotai JAC dua tahun lepas, namun penggal mereka berakhir pada 3 Sept.
Sementara itu, penggal dua tahun bekas peguam besar Sarawak Abdul Razak Tready turut berakhir pada tarikh sama.
Seksyen 5(1)(f) Akta JAC membenarkan individu terkemuka menganggotai suruhanjaya itu selama dua tahun dan layak dilantik semula, tetapi tidak boleh dilantik lebih dua penggal.