
Adun Elopura Calvin Chong berkata, pemotongan bekalan elektrik meluas itu berlaku kerana rangkaian bekalan kuasa pantai timur terbeban dengan permintaan elektrik yang tinggi.
“Bekalan di (loji jana kuasa) Kimanis tidak cukup untuk pantai timur, menyebabkan pemotongan bekalan elektrik menyeluruh hari ini (Sabtu),” kata Chong kepada FMT.
Beliau menggesa kerajaan memberi tumpuan pada pilihan kos rendah seperti loji kuasa hidro dengan memanfaatkan sungai dan sumber air di pantai timur, seperti di hutan simpan Deramakot.
Kerajaan tidak sepatutnya membeli arang batu dari Indonesia untuk membina loji jana kuasa arang batu, tambahnya.
Chong yang juga ahli Warisan, pembangkang negeri, turut mendakwa kerajaan negeri tidak menunjukkan komitmen serius untuk membangunkan prasarana bekalan kuasa negeri, yang menurutnya menjejaskan industri negeri.
“Siapa yang akan bertanggungjawab atas semua kerugian ini? Tiada siapa tampil dan bersuara,” katanya.
Bekalan elektrik di tujuh daerah di Sabah – Sandakan, Kinabatangan, Beluran, Kunak, Semporna, Lahad Datu and Tawau – mengalami gangguan pada 12.14 petang semalam, namun pulih sepenuhnya pada 5.48 petang.
Ketua Pegawai Eksekutif Sabah Electricity Mohd Yaakob Jaafar berkata, pemotongan bekalan elektrik itu berpunca daripada ‘masalah sementara’ yang menyebabkan talian sambungan di Ranau terputus.
Beri penjelasan tentang subsidi
Seorang lagi Adun Warisan, wakil Sri Tanjong Justin Wong menggesa kerajaan negeri agar memberi respons terhadap pengumuman kerajaan persekutuan bahawa subsidi elektrik untuk negeri itu akan dihentikan tahun depan.
Mendesak Ketua Menteri Hajiji Noor memberi penjelasan tentang perkara ini, Wong berkata, beliau berharap pemotongan bekalan elektrik yang dihadapi semalam bukan petanda perkara lebih buruk akan berlaku tahun depan.
Isnin lepas, Pengerusi Sabah Electricity Wilfred Madius Tangau berkata, negeri itu mungkin menghadapi gangguan bekalan elektrik mulai Januari jika kerajaan persekutuan tidak memberikan sokongan kewangan segera.
Katanya, beliau telah dimaklumkan oleh Suruhanjaya Tenaga Sabah bahawa tambahan RM866 juta subsidi elektrik yang diberikan tahun lepas tidak akan dipertimbangkan tahun ini disebabkan kekangan fiskal.
Sejak 2014, tarif elektrik Sabah ditetapkan pada kadar bersubsidi 34.52 sen setiap kWj, manakala kos penjanaan dan perolehan kuasa telah meningkat.
Sabah Electricity hanya menjana 20% daripada bekalan elektrik negeri dan bergantung kepada pengeluar tenaga bebas untuk baki 80% lagi, pada kos yang lebih tinggi, mewujudkan jurang kewangan yang ditampung oleh subsidi persekutuan.