Makmal uji kerjasama: Teguran GRS cerminan kekecewaan rakyat Sabah

Makmal uji kerjasama: Teguran GRS cerminan kekecewaan rakyat Sabah

Ia menyentuh aspek politik identiti dan hak autonomi Sabah, kata penganalisis, Bilcher Bala.

zahid
Minggu lalu, Pengerusi BN Zahid Hamidi dilapor berkata PRN Sabah ke-17 tahun depan bakal menjadi ‘makmal’ untuk menguji kerjasama antara PH dan BN. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Teguran pemimpin Gagasan Rakyat Sabah (GRS) berkenaan istilah ‘makmal’ yang diungkapkan pengerusi Barisan Nasional (BN) cerminan kekecewaan rakyat Sabah terhadap pendekatan pemimpin kerajaan persekutuan.

Penganalisis, Bilcher Bala dari Universiti Malaysia Sabah, berkata memperlakukan Sabah sebagai ‘makmal’ adalah tidak wajar, kerana pendekatan seperti itu meremehkan maruah dan kedaulatan negeri.

“Kerajaan persekutuan perlu memastikan bahawa Sabah diperlakukan atau dilayan dengan penuh hormat dalam semua aspek politik,” katanya kepada FMT.

Penganalisis itu menambah pemimpin perlu menunjukkan sikap hormat dalam ucapan dan tindakan, kerana ia menyentuh aspek politik identiti dan hak autonomi Sabah.

“Kerjasama politik harus dirancang secara telus dengan melibatkan pemimpin tempatan dan rundingan terbuka untuk memastikan keputusan yang diambil adil dan mencerminkan kepentingan negeri,” katanya.

Minggu lalu, Zahid Hamidi dilapor berkata PRN Sabah ke-17 tahun depan bakal menjadi ‘makmal’ untuk menguji kerjasama antara Pakatan Harapan (PH) dan BN.

Semalam, Timbalan Presiden GRS Masidi Manjun berkata tindakan menjadikan Sabah sebagai eksperimen untuk mengadakan kerjasama politik bagi PRN akan datang adalah sesuatu tidak wajar.

Katanya, ia seolah-olah menjadikan negeri itu seperti ‘tikus makmal’ yang merendahkan maruah rakyatnya.

Mohammad Tawfik Yaakub dari Universiti Malaya, bagaimanapun berkata Zahid bercakap mengenai usaha mewujudkan kestabilan politik di Sabah, menerusi kerjasama politik yang tidak pernah dilaksanakan oleh PH dan BN.

Beliau menyifatkan usaha itu berjaya di peringkat persekutuan dan di beberapa negeri seperti Perak dan Pahang.

“Hasil kerjasama politik PH-BN bukan sahaja menstabilkan politik negara tetapi mampu menggerakkan usaha pemulihan ekonomi yang selama ini terjejas akibat politicking sepanjang masa,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.