
Kakaknya, Mariam, yang mengesahkan pemergian Rosnah berkata, jenazah masih berada di Pulau Pinang dan akan dikebumikan di Kuala Lumpur.
“(Rosnah) diketahui mempunyai penyakit berkaitan buah pinggang dan pernah membuat pembedahan pemindahan buah pinggang di China pada 2001,” katanya, lapor Bernama.
Anak kelahiran Sungai Pial, Merbuk, Kedah dan lepasan Universiti Malaya dalam bidang Ekonomi, Rosnah pernah bertugas di akhbar Utusan Malaysia selama 20 tahun sejak 1977 dan merupakan pemenang pertama Anugerah Kajai pada 1984.
Beliau menjadi Adun Tanjung Dawai selepas menewaskan calon PAS pada PRU 1999 dan pernah menjadi ketua Wanita Umno Kedah bagi penggal 2000/2003.
Beliau juga dilantik sebagai Profesor Adjung di Fakulti Komunikasi dan Bahasa Moden Universiti Utara Malaysia (UUM) selama setahun pada 2007.