Sebar ‘berita palsu warganegara China’ di mimbar, khatib disiasat bawah 3R

Sebar ‘berita palsu warganegara China’ di mimbar, khatib disiasat bawah 3R

Saifuddin Nasution Ismail percaya teks asal khutbah di sebuah masjid Padang Serai tidak sentuh fitnah kononnya 'lebih sejuta warga China jadi warganegara'.

Saifuddin Nasution Ismail kesal fitnah ‘kewarganegaraan rakyat China’ terus disebar, walaupun telah dinafi menteri KDN era Muhyiddin Yassin dan Hamzah Zainudin. (Gambar Bernama)
KULIM:
Polis menerima laporan berhubung tindakan khatib sebuah masjid di Padang Serai yang dikatakan mengupas isu pemberian kewarganegaraan kepada rakyat China, ketika menyampaikan khutbah Jumaat, semalam.

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail, berkata perkara itu yang dilihat sebagai penyalahgunaan pentas khutbah dan mencemarkan institusi masjid akan disiasat oleh Pasukan Khas 3R Bukit Aman.

“Saya telah pun menerima aduan awal semalam, Jumaat, di satu masjid di dalam kawasan Parlimen Padang Serai yang khutbah Jumaatnya antara lain menyentuh tentang pemberian warganegara kepada rakyat China yang jumlahnya lebih satu juta.

“Walaupun saya sudah jelaskan…malah disangkal oleh menteri dalam negeri sebelum saya iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Hamzah Zainudin, walaupun sudah dibetulkan fakta itu, sudah diberi keterangan tapi ternyata fitnah itu masih terus lagi menyemarak dan yang paling malang apabila institusi masjid dijadikan sebagai pentas,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Sua Mesra Kementerian Dalam Negeri di Sekolah Kebangsaan Ladang Dublin, Karangan.

Saifuddin berkata, pihaknya kesal dengan perkara itu dan menjelaskan pentas khutbah serta institusi masjid, seharusnya berperanan untuk menyampaikan pesanan bertakwa, menyeru kebaikan, dan menjauhi kezaliman.

Beliau berkata, apabila pentas khutbah dijadikan tempat mengupas isu-isu semasa yang maklumatnya tersasar, ia sekali gus menjadi fitnah.

Saifuddin juga berkata, beliau percaya bahawa teks asal khutbah disediakan pihak berkuasa agama tidak menyentuh isu tersebut, tetapi khatib berkenaan mengambil sikap sendiri untuk mengupas perkara itu.

“Saya mahu ulangi gesaan, nasihat supaya institusi masjid terutama pimpinan masjid daripada membenarkan para khatib terutama solat Jumaat daripada membenarkan guna platform khutbah itu untuk sampaikan bahan-bahan yang jauh terpesong,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.