
Ketua Penolong Pengarah D3 Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Soffian Santong, berkata siasatan mendapati sindiket itu mengutip ‘tambang’ bermula RM1,500 hingga RM2,300 setiap seorang.
Katanya, dalam serbuan pertama Op Pintas itu sebuah bot pancung serta sampan dipintas di kedudukan 0.5 batu nautika Pantai Sungai Bagan Tengkorak, Tanjong Karang, dengan bantuan Pasukan Polis Marin (PPM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).
“Serbuan pertama pada 6 petang Rabu, pasukan D3 bersama PGM dan APMM membuat serbuan ke atas sebuah bot pancung jenis fiber dan sebuah bot sampan jenis fiber dalam keadaan mencurigakan.
“Hasil serbuan berjaya menahan 36 migran Indonesia terdiri 19 lelaki, wanita (14), dan kanak-kanak (3) serta dua lelaki juga warga Indonesia disyaki tekong,” katanya dalam kenyataan menurut Berita Harian.
Soffian berkata, susulan itu pihaknya menggempur sebuah kediaman sekitar Kundang di Rawang, dalam serbuan kedua kira-kira 6 petang kelmarin.
Katanya, 26 migran Indonesia ditahan dalam serbuan itu membabitkan 20 lelaki, lima wanita, seorang kanak-kanak dan dua lelaki disyaki ‘transporter’ serta penjaga rumah semuanya berusia lingkungan empat hingga 49 tahun.
Menurutnya, polis percaya dua lokasi serbuan itu membabitkan satu sindiket sama dan dipercayai aktif sejak enam bulan lalu.
“Migran yang ditahan tidak mempunyai dokumen sah dan mahu keluar dari Malaysia melalui jalan laut. Setiap migran dipercayai membayar RM1,500 hingga RM2,300 untuk keluar dari Malaysia yang dibayar kepada ejen di Indonesia,” katanya.
Beliau berkata, keseluruhan seramai 64 warga Indonesia ditahan dalam dua operasi itu termasuk tekong, ‘transporter’ dan penjaga rumah transit.
“Tangkapan dibawa ke IPD Kuala Selangor dan Sungai Buloh untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 26A Akta Atipsom 2007, Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, dan Seksyen 15(1)(c) akta sama,” katanya.