CGF tolak cadangan Malaysia anjur badminton di KL

CGF tolak cadangan Malaysia anjur badminton di KL

Persekutuan Sukan Komanwel (CGF) tolak permintaan MOM susulan Glasgow menggugurkan acara itu pada Sukan Komanwel 2026.

Setiausaha Agung MOM Mohd Nazifuddin Najib, berkata pihaknya buat permintaan anjur acara badminton serentak dengan 10 sukan lain ditetapkan tuan rumah, Glasgow. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Majlis Olimpik Malaysia (MOM) mendedahkan Persekutuan Sukan Komanwel (CGF) menolak permintaan Malaysia menganjurkan sukan badminton di sini bersempena Sukan Komanwel 2026.

Setiausaha Agung MOM Mohd Nazifuddin Najib, berkata Malaysia mencadangkan agar sukan yang dianggap lubuk pingat buat negara pada temasya empat tahun berkenaan dijalankan serentak dengan 10 sukan lain, yang ditetapkan tuan rumah iaitu Glasgow, Scotland dari 23 Julai hingga 2 Ogos 2026.

“Kita ada minta CGF jika Malaysia boleh anjurkan badminton pada masa yang sama Glasgow (anjurkan Sukan Komanwel 2026), tetapi permohonan ditolak dan perlu terima 10 sukan (ditetapkan tuan rumah),” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat MOM kali ke-211 dan Perhimpunan Agung MOM ke-43.

Badminton adalah antara sukan digugurkan daripada Sukan Komanwel 2026 bagi tujuan mengurangkan kos penganjuran temasya di Glasgow berkenaan.

Sebaliknya, hanya 10 sukan bakal dipertandingkan di empat venue sekitar radius 12.8km, berbanding 19 sukan pada Sukan Komanwel 2022 di Birmingham, England dengan kira-kira 3,000 atlet dari 74 negara dan wilayah Komanwel dijangka mengambil bahagian.

Sukan disenaraikan adalah olahraga dan olahraga para, renang dan renang para, gimnastik artistik, berbasikal trek dan berbasikal trek para, bola jaring, angkat berat dan powerlifting, tinju, judo, boling dan boling para, bola keranjang 3×3, dan bola keranjang kerusi roda 3×3.

Glasgow, yang menjadi tuan rumah buat kali kedua selepas edisi 2014, menawarkan diri setelah Malaysia enggan menerima tawaran bagi menggantikan Victoria, Australia, yang sepatutnya menjadi tuan rumah edisi 2026, namun menarik diri pada Julai tahun lepas ekoran peningkatan kos penganjuran.

Dalam pada itu, Nazifuddin berkata penarikan diri kontinjen negara daripada Sukan Komanwel 2026 bukanlah tindakan bijak sebaliknya menjangkakan Malaysia mempertaruhkan bilangan atlet lebih kecil untuk berjuang di Glasgow.

Sementara itu, beliau berkata Ketua Kontinjen Negara (CDM) ke Sukan Olimpik 2024 di Paris Hamidin Mohd Amin meluahkan rasa kecewa berhubung kegagalan Malaysia menjelmakan emas sulung dalam laporannya kepada Presiden MOM Mohamad Norza Zakaria.

Nazifuddin pada masa sama, berkata MOM akan mengadakan mesyuarat pascanilai Sukan Olimpik 2024 bersama Majlis Sukan Negara (MSN) Khamis ini.

Malaysia menamatkan saingan pada Sukan Olimpik 2024 dengan membawa pulang dua gangsa dari sukan badminton menerusi gandingan juara beregu lelaki dunia 2022 Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan pemain perseorangan lelaki profesional Lee Zii Jia.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.