
Ahmed Razman Abdul Latiff berkata kerajaan boleh menetapkan suatu jumlah kuota bulanan pembelian menggunakan MyKad, dan jika sudah melebihi had pengguna perlu membayar petrol RON95 mengikut harga pasaran.

“Maknanya tak boleh guna MyKad untuk dapatkan subsidi petrol sebanyak mungkin, mungkin setiap bulan ditetapkan suatu jumlah supaya dapat kekang penggunaan MyKad secara tak sah,” kata ahli ekonomi dari Putra Business School itu kepada FMT.
Menurut ahli akademik dari Putra Business School itu, kaedah berkenaan juga dapat mengurangkan risiko peniaga mengambil kesempatan menaikkan harga barang sekiranya kerajaan menyalurkan subsidi secara pindahan tunai.
“Bantuan tunai akan membolehkan pengguna membeli apa sahaja dan peniaga juga cenderung untuk naikkan harga makanan. Jika subsidi petrol melalui MyKad, saya lihat tidak ada cubaan untuk naikkan harga makanan dan barangan.”
Katanya, ciri-ciri keselamatan pada MyKad juga memudahkan stesen minyak mengenal pasti identiti pengguna atau pemilik kenderaan, malah tiada keperluan bagi kerajaan memperkenalkan sistem baharu untuk melaksanakan penyasaran subsidi RON95.
“MyKad ada ciri-ciri keselamatan yang tidak boleh dipertikaikan. Petugas di stesen minyak boleh merujuk gambar pemiliknya selain pengesahan biometrik jika ada kesangsian berdasarkan imbasan cap jari,” katanya.
Rabu lalu, Menteri Ekonomi Rafizi Ramli dalam penggulungan di Dewan Rakyat berkata penggunaan MyKad antara mekanisme dicadangkan untuk melaksanakan penyasaran subsidi RON95.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2025 mengumumkan kerajaan bercadang melaksanakan penyasaran subsidi petrol RON95 pada pertengahan tahun depan dengan penjimatan daripanya digunakan untuk kesejahteraan rakyat terbanyak.
Beliau berkata 85% rakyat akan terus mendapat manfaat daripada subsidi kerajaan untuk 2025 yang dianggarkan berjumlah RM12 bilion.

Barjoyai Bardai dari Universiti Sains dan Teknologi Malaysia turut bersetuju mekanisme kuota berdasarkan MyKad digunakan dalam pemberian subsidi petrol, namun berpendapat penggunaan MyKad perlu diintegrasikan dengan lesen memandu pengguna.
“Itu mekanisme paling mudah dan murah, melalui data dan teknologi tersedia, kita boleh laksanakan secepat mungkin,” katanya.
“Kalau tiada MyKad atau habis kuota (subsidi)…bayar harga penuh,” katanya yang berpandangan, di peringkat awal pelaksanaannya kerajaan boleh memberikan subsidi petrol kepada semua warganegara tanpa mengira kumpulan pendapatan.
“Contoh, jika kerajaan tetapkan kuota RM120 sebulan, dah sampai had, tak boleh lagi isi harga subsidi, kena bayar harga yang diapungkan.”