Tuntutan Sulu: Sabah puas hati keputusan mahkamah Perancis

Tuntutan Sulu: Sabah puas hati keputusan mahkamah Perancis

Hajiji Noor berkata, sebagai negeri berdaulat dalam Malaysia, Sabah tidak mengiktiraf sebarang tuntutan ke atasnya.

hajiji
Hajiji Noor mengucapkan terima kasih kepada kerajaan persekutuan yang berusaha bersungguh-sungguh membatalkan award akhir oleh seorang penimbang tara Sepanyol berhubung Sabah.
KOTA KINABALU:
Sabah memuji keputusan Mahkamah Agung Perancis baru-baru ini yang menolak sepenuhnya cabaran perundangan berkaitan Sabah yang difailkan oleh individu mendakwa sebagai waris Kesultanan Sulu yang tidak lagi wujud.

Ketua Menteri Hajiji Noor berkata, beliau amat puas hati dengan keputusan mahkamah itu.

“Kami ulangi bahawa kami tidak mengiktiraf sebarang tuntutan ke atas Sabah kerana kami negeri berdaulat dalam Malaysia,” katanya dalam kenyataan.

Beliau seterusnya mengucapkan terima kasih kepada kerajaan persekutuan, khususnya Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said, yang berusaha bersungguh-sungguh bagi membatalkan satu award akhir oleh seorang penimbang tara Sepanyol berhubung Sabah.

Azalina menerusi hantaran di laman Facebook semalam menyifatkan keputusan mahkamah itu sebagai kemenangan bersejarah dan penting buat Malaysia.

Menurutnya, keputusan itu bermakna asas awal yang membawa kepada award akhir, iaitu Malaysia perlu membayar pampasan kira-kira USD15 bilion, tidak diiktiraf bawah undang-undang Perancis.

Azalina menganggap keputusan mahkamah itu sebagai suatu kejayaan penting buat Malaysia kerana percubaan untuk memeras ugut rakyat negara ini telah gagal.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.