Prasarana diiktiraf RTC kedua UITP di Asia Pasifik

Prasarana diiktiraf RTC kedua UITP di Asia Pasifik

Pengiktirafan diberikan melalui perjanjian kolaborasi Prasarana dan UITP, organisasi pengangkutan awam antarabangsa, Union Internationale des Transports Publics.

Mohd Azharuddin Mat Sah (dua kiri) dan Mohamed Mezghani bertukar dokumen kerjasama antara Prasarana dengan UiTP disaksikan Hasbi Habibollah (tiga kiri) dan Jamaluddin Ibrahim (tiga kanan) di Menara Prasarana, Petaling Jaya.
PETALING JAYA:
Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) mencipta satu lagi pencapaian bersejarah hari ini apabila diiktiraf sebagai Pusat Latihan Serantau (RTC) kedua UITP di Asia Pasifik dan ke-10 terakhir di seluruh dunia.

Pengiktirafan diberikan melalui perjanjian kolaborasi dimeterai antara Prasarana dan UITP, Union Internationale des Transports Publics, sebuah organisasi pengangkutan awam antarabangsa berpusat di Brussels, Belgium.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana, Mohd Azharuddin Mat Sah, berkata RTC bawah naungan UITP, kini berada dalam kedudukan kukuh bukan sahaja membangunkan modal insan dalaman tetapi memberi manfaat kepada seluruh ekosistem pengangkutan awam di Malaysia dan Asia Pasifik.

“Kami berbangga dapat memainkan peranan penting dalam memperkukuh standard dan keberkesanan pengangkutan awam di rantau ini,” katanya dalam sidang media selepas majlis menandatangani perjanjian antara Prasarana dan UITP di Menara Prasarana, Ara Damansara, hari ini.

Hadir sama Timbalan Menteri Pengangkutan Hasbi Habibollah, Pengerusi Kumpulan Prasarana Jamaluddin Ibrahim, Ketua Setiausaha UITP Mohamed Mezghani dan Ketua Pembangunan Produk dan Perniagaan untuk Acara dan Perkhidmatan Akademi UITP Muhammed Emre Kiran.

Menerusi perjanjian dua tahun yang boleh diperbaharui itu, RTC Malaysia dijangka mampu menarik peserta antarabangsa ke Kuala Lumpur sekali gus memberi impak positif kepada ekonomi negara terutama dalam sektor perhotelan, pelancongan, dan perkhidmatan.

Mengulas lanjut, Azharuddin berkata kolaborasi itu akan membolehkan lebih 13,000 warga kerja Prasarana menerima akses langsung kepada sumber latihan bertaraf antarabangsa.

“Ia termasuk sistem pengurusan pembelajaran (LMS) UITP dan perpustakaan digital yang memiliki lebih 60,000 dokumen dan penerbitan berkaitan industri pengangkutan awam.

“Prasarana turut menyasarkan melatih seramai 450 kakitangan melalui RTC dalam tempoh empat tahun,” katanya.

Sementara itu, Mohamed Mezghani berkata pemilihan Prasarana sebagai tuan rumah pusat latihan serantau UITP mencerminkan kepercayaan pihaknya terhadap kerjasama terbabit yang akan membantu Prasarana menjadi model bagi bandar dan sistem pengangkutan awam lain.

“Penubuhan RTC ini selari dengan visi UITP untuk mewujudkan rangkaian pusat latihan yang strategik di seluruh dunia.

“Prasarana, sebagai sebuah RTC, diharapkan dapat menjadi pemangkin kepada pembangunan profesional yang berterusan dan memastikan pengangkutan awam menjadi tulang belakang yang mapan untuk pertumbuhan ekonomi dan sosial,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.