KPDN timbang guna ‘nombor kumpulan’ pada minyak peket

KPDN timbang guna ‘nombor kumpulan’ pada minyak peket

Fuziah Salleh berkata nombor kumpulan bertujuan mengesan ketirisan selepas keluar daripada peruncit, pemborong dan pembungkus.

Timbalan Menteri Fuziah Salleh, berkata ketika ini sukar kenal pasti pihak mana bersalah apabila minyak masak peket lolos ke luar negara.
PETALING JAYA:
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menimbang menggunakan nombor kumpulan (batch number) pada minyak masak peket sebagai antara langkah mengekang ketirisan barang bersubsidi itu.

Timbalan Menteri Fuziah Salleh, berkata kaedah itu memudahkan pengesanan ketirisan selepas ia keluar daripada peruncit, pemborong, dan pembungkus.

Fuziah Salleh.

“Sebab sistem kita, ada daripada (kilang) pembungkusan (minyak masak) kepada pemborong kepada peruncit, tetapi apabila kita jumpa jenama itu berada di tempat yang tak sepatutnya contohnya di luar negara, macam mana kita hendak tengok dia siapa yang salah.

“Jikalau, kita kesan kepada kilang pembungkus minyak masak, mereka (kilang pembungkusan minyak masak) kata mereka pergi pada pemborong,” katanya menurut Sinar Harian selepas satu program di Kedah.

Fuziah berkata, setakat ini penggunaan nombor kumpulan pada minyak masak peket itu sekadar cadangan, namun belum dilaksana.

“Namun, sudah ada syarikat-syarikat yang melaksanakannya, mungkin kita mengambil sebagai amalan terbaik dan mungkin kita akan kaji lebih mendalam, (serta) mungkin ini merupakan satu jalan penyelesaian (isu ketirisan),” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.