Keluarga boleh tanya lokasi anak, kata polis berkait kes GISBH

Keluarga boleh tanya lokasi anak, kata polis berkait kes GISBH

Sebelum ini, 96 ibu bapa kepada 174 kanak-kanak dikaitkan dengan GISBH dilaporkan memohon pihak berkuasa memulangkan anak mereka.

Shuhaily
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Mohd Shuhaily Mohd Zin berkata semua kanak-kanak dikaitkan dengan GISBH yang diselamatkan dalam Op Global kini dijaga Jabatan Kebajikan Masyarakat. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Keluarga atau penjaga kanak-kanak dikaitkan dengan Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) boleh berhubung dengan polis untuk mendapatkan maklumat, termasuk lokasi anak mereka berada, kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Mohd Shuhaily Mohd Zin.

Beliau berkata, semua kanak-kanak yang diselamatkan dalam Op Global kini dijaga Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Daripada hari pertama kita melancarkan Op Global telah diuar-uarkan untuk datang bagi membantu siasatan,” katanya menurut Sinar Harian selepas majlis serah terima tugas Ketua Polis Perak, Azizi Mat Aris kepada Timbalannya, Zulkafli Sariaat yang memangku jawatan itu di Mes Pegawai Kanan Polis di Ipoh.

“Dalam konteks siasatan, sekiranya ada yang terpisah dengan anak, mereka boleh datang bertanya, bukannya tidak boleh. Bagaimana mereka kata tidak tahu pula?”

Menurutnya, pihak berkaitan berhak mengambil tindakan undang-undang terhadap agensi terbabit dalam Op Global.

“Dalam konteks ini, kita cuba menyelamatkan mengikut prosedur dan proses perundangan dengan saringan yang dilaksanakan JKM dan pihak perubatan.

“JKM pun ada prosedurnya untuk memastikan anak-anak ini diserahkan kepada mereka yang layak, bukan saja dari sudut hubungan keluarga, tetapi mampu menjaga kebajikan anak-anak ini dengan baik.

“Ini prosedur biasa dan kalau mereka hendak ambil tindakan undang-undang dan sebagainya, itu hak mereka.”

Sebelum ini, 96 ibu bapa kepada 174 kanak-kanak dikaitkan dengan GISBH dilaporkan memohon pihak berkuasa memulangkan anak mereka.

Rabu lalu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Zulkifli Hasan dilaporkan berkata, kerajaan tidak boleh bertindak semberono membebaskan kanak-kanak dikaitkan GISBH kerana kes itu melibatkan pelbagai agensi dan garis panduan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.