Bekas KPPA dilantik pengerusi majlis penasihat Nafas

Bekas KPPA dilantik pengerusi majlis penasihat Nafas

Zainal Rahim Seman bersama tiga lagi anggota majlis penasihat akan membantu Lembaga Pertubuhan Peladang melakukan reformasi dan tatakelola di Nafas.

zainal rahim seman
Bekas ketua pengarah Perkhidmatan Awam, Zainal Rahim Seman akan mempengerusikan Majlis Penasihat Nafas berfungsi menasihati Pendaftar Pertubuhan Peladang dalam membuat keputusan. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Bekas ketua pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) Zainal Rahim Seman dilantik sebagai pengerusi majlis penasihat Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas).

Watikah pelantikan beliau disampaikan oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu dalam satu majlis di Menara Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP).

LPP dalam satu kenyataan berkata watikah pelantikan turut diberikan kepada tiga orang lagi yang menganggotai majlis penasihat itu dan lima orang pentadbir.

Dalam pada itu, Mohamad menyatakan keyakinan terhadap kemampuan Zainal yang juga pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia untuk membantu LPP melakukan reformasi dan tatakelola di Nafas.

“Nafas akan terus beroperasi seperti biasa. Semua urusan perniagaan, perkhidmatan dan kakitangan Nafas kini adalah di bawah arahan pentadbir dengan dikawal selia oleh Pendaftar Pertubuhan Peladang,” katanya.

Sebelum ini, Ketua Pengarah LPP Amir Matamin selaku Pendaftar Pertubuhan Peladang membuat satu perintah penggantungan Nafas berkuat kuasa pada 1 Nov lepas di bawah Seksyen 20 (1) Akta Pertubuhan Peladang 1973.

Mengikut kenyataan itu lagi, semasa tempoh penggantungan, Nafas akan diurus oleh pentadbir yang dilantik Pendaftar Pertubuhan Peladang manakala Majlis Penasihat Nafas berfungsi menasihati pendaftar dalam membuat keputusan sekiranya wujud perkara-perkara yang dirujuk oleh pentadbir kepada pendaftar berhubung masalah harian.

LPP memaklumkan langkah berkenaan bagi memastikan fungsi Nafas berjalan dengan cekap tanpa gangguan.

“Dari segi operasi perniagaan dan perkhidmatan, agar segala pemulihan Nafas dapat dilaksanakan dengan baik dan teratur demi kepentingan 605,552 ahli peladang di seluruh negara,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.