Wajib pemeriksaan berkala sistem elektrik pengangkutan awam, kata pakar

Wajib pemeriksaan berkala sistem elektrik pengangkutan awam, kata pakar

Law Teik Hua dari UPM berkata, kerajaan patut memperkenalkan piawaian keselamatan yang mematuhi standard antarabangsa bagi mengurangkan risiko.

renjatan
Pengerusi Miros, Wong Shaw Voon, berkata penumpang perlu melaporkan saluran elektrik rosak kepada pengendali pengangkutan awam secara proaktif. (Gambar X)
PETALING JAYA:
Kerajaan digesa mewajibkan semua pengangkutan awam menjalani pemeriksaan mandatori dan penyelenggaraan sistem elektrik susulan kematian seorang penumpang bas ekspres akibat renjatan elektrik pada Jumaat lalu.

Law Teik Hua dari pusat penyelidikan keselamatan jalan raya Universiti Putra Malaysia berkata, pendawaian rosak, penebat tidak mencukupi, litar lebih muatan dan pendedahan air sering menimbulkan bahaya elektrik dalam tetapan pengangkutan awam.

“Penyelenggaraan dan pemeriksaan berkala sistem elektrik serta alur keluar boleh membantu mengesan risiko berpotensi,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata, kerajaan juga perlu memastikan piawaian keselamatan ketat untuk peralatan elektrik pada pengangkutan awam bagi mengurangkan risiko sedemikian, khasnya memastikan pematuhan piawaian antarabangsa.

“Reka bentuk soket alur keluar mesra pengguna juga boleh membantu mengurangkan risiko, seperti mempunyai penutup pelindung atau ditempatkan di kawasan kurang mudah diakses bagi menghalang penggunaan kasual.”

Mohamad Nur Asymawi Jasmadi, 18, meninggal dunia 10 minit selepas menaiki bas ekspres di terminal Penang Sentral, Butterworth pada 2 Nov lalu. Seorang penumpang terdengar jeritan sebelum mangsa ditemui dalam keadaan mulut berbuih. Pegawai perubatan kemudian mengesahkan dia meninggal dunia.

Polis menemui kesan melecur di jari kiri mangsa, dipercayai akibat renjatan elektrik dialaminya ketika mengecas telefon bimbitnya. Hujung kabel cair dan peranti pengecas dalam keadaan panas.

Kementerian Pengangkutan menubuhkan pasukan petugas khas membabitkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Agensi Pengangkutan Awam Darat (Apad) dan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (Miros) untuk menyiasat kematian itu.

Pengerusi Miros, Wong Shaw Voon, berkata kerajaan perlu menetapkan hanya profesional dan juruteknik berkelayakan boleh menjalankan semua pemeriksaan serta penyelenggaraan sistem pengecasan pada pengangkutan awam, bukannya kakitangan penyelenggaraan am semata-mata.

Beliau juga menasihatkan penumpang memastikan mereka hanya menggunakan kabel dan penyesuai diperakui serta berkualiti tinggi bagi mengelakkan risiko keselamatan serius.

Katanya, penumpang perlu melaporkan soket alur keluar rosak kepada pengendali kenderaan secara proaktif.

“Tiada siapa mahu melihat kejadian sedemikian berlaku, jadi semua pihak terbabit perlu memberi perhatian teliti dan mengambil langkah sewajarnya.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.