Tahanan rumah hanya terpakai bagi reman, kata Saifuddin

Tahanan rumah hanya terpakai bagi reman, kata Saifuddin

Menteri dalam negeri berkata undang-undang baharu itu tidak merangkumi individu terbabit kesalahan jenayah serius.

penjara
Cadangan akta baharu membenarkan tahanan rumah akan membolehkan penjara menjadi lebih kondusif kerana tidak terlalu padat, kata Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail.
KUALA LUMPUR:
Jika diluluskan, rang undang-undang (RUU) tahanan rumah hanya terpakai bagi individu bawah reman sementara menunggu perbicaraan di mahkamah.

Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail, bagaimanapun menjelaskan tahanan rumah tidak layak diberikan kepada individu direman kerana melakukan kesalahan jenayah serius, termasuk yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup.

“Kesalahan serius yang membawa pemenjaraan 10 tahun ke atas, keganasan rumah tangga dan kanak-kanak, sebatan mandatori, Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Atipsom) dan Bab 6 Kanun Keseksaan juga tidak layak untuk tahanan rumah.

“Yang kita sasarkan ialah tahanan reman bukan (membabitkan) jenis-jenis kesalahan yang saya sebutkan tadi,” katanya ketika menggulung perbahasan Belanjawan 2025 peringkat Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Dewan Rakyat.

Dalam pada itu, Saifuddin berkata setakat semalam, terdapat 87,229 prospek, termasuk 28,000 individu yang ditahan reman, berada di dalam penjara di seluruh negara, walaupun ia hanya mampu memuatkan 74,000 orang.

Katanya, penjara menjadi sesak antaranya kerana individu yang menjalani tahanan reman dan belum disabitkan kesalahan turut ditempatkan di situ.

Kataya, cadangan akta baharu itu akan membolehkan penjara menjadi lebih kondusif kerana tidak terlalu padat.

“Hasrat kami adalah memberi kuasa kepada mahkamah untuk mempertimbang dan memerintahkan (individu) yang ditahan reman ditahan di rumah dan dipakaikan peranti hingga tarikh perbicaraan,” katanya.

Bulan lalu Perdana Menteri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2025 berkata, kerajaan akan menggubal akta baharu yang membenarkan tahanan rumah sebagai hukuman alternatif bagi kesalahan tertentu.

Katanya, bawah undang-undang dicadangkan itu, pesalah dikehendaki berada di lokasi ditetapkan, seperti rumah atau pusat jagaan, sepanjang tempoh hukuman.

Susulan itu, Jurucakap Kerajaan Fahmi Fadzil menegaskan RUU tersebut tiada kaitan dengan bekas perdana Menteri Najib Razak yang sedang menjalani hukuman penjara enam tahun berhubung kes SRC International.

RUU yang diluluskan Jemaah Menteri itu sedang digubal Jabatan Peguam Negara serta Jabatan Penjara, dan dijangka dibentangkan di Parlimen tahun depan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.