Sasaran 720 pakar psikiatri tahun depan mungkin sukar dicapai, kata menteri

Sasaran 720 pakar psikiatri tahun depan mungkin sukar dicapai, kata menteri

Dzulkefly Ahmad berkata, ketika ini hanya ada 623 pakar psikiatri di pusat kerajaan dan swasta di seluruh negara.

Dzulkefly Ahmad
Dzulkefly Ahmad meminta pakar perubatan keluarga mengisi ruang dalam pengurusan kesihatan mental ketika bertugas sebagai doktor klinikal di klinik kesihatan. (Gambar Bernama)
BANGI:
Sasaran menyediakan 720 pakar psikiatri di fasiliti awam menjelang tahun depan mungkin sukar dicapai, kata Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad.

Beliau berkata, setakat ini, terdapat 623 pakar psikiatri yang ditugaskan di hospital awam serta swasta, selain kemudahan tentera dan universiti, di seluruh negara.

Katanya, ada menteri sebelum ini yang mengumumkan sasaran jumlah pakar dalam bidang kesihatan mental itu mencecah 720 orang menjelang 2025.

“Saya kira itu mungkin sukar dicapai,” katanya selepas merasmikan Konvensyen Kaunseling Serantau.

“Kita sekarang ada 623 (pakar) psikiatri, di hospital 385 orang, termasuk lapan orang dalam angkatan tentera, 102 orang di universiti dan hospital swasta, serta 26 orang di universiti swasta.”

Sehubungan itu, beliau mahu pakar perubatan keluarga mengisi ruang dalam pengurusan kesihatan mental ketika bertugas sebagai doktor klinikal di klinik kesihatan.

“Mereka perlu tumpu perhatian bukan sahaja pada rawatan fizikal atau penyakit, tetapi juga aspek kesihatan mental pesakit.

“Saya yakin nisbah pakar psikiatri kepada populasi masih jauh untuk dipenuhi dari sudut tuntutan matriksnya,” katanya.

Pada 2021, media melaporkan Kementerian Kesihatan (KKM) menyasarkan nisbah satu pakar psikiatri bagi setiap 50,000 penduduk di seluruh negara pada 2025, menjadikan jumlahnya 720 orang.

Sebagai langkah awal memenuhi keperluan rakyat untuk perkhidmatan kesihatan mental, KKM mengupah 200 kaunselor secara kontrak selama setahun mulai Ogos 2020 hingga 2 Ogos 2022.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.