Lelaki ditahan disyaki sebab kematian warga emas, anak

Lelaki ditahan disyaki sebab kematian warga emas, anak

Suspek berusia 32 tahun itu turut mengalami kecederaan kelaran dan tikaman dan kini dirawat di Hospital Pulau Pinang.

garisan kuning
Seorang warga emas berusia 62 tahun dan anak perempuannya berusia 30 tahun ditemukan meninggal dunia di lobi lif sebuah pangsapuri di Bandar Baru Farlim, Ayer Itam, tengah hari tadi.
PETALING JAYA:
Polis menahan seorang lelaki warga tempatan selepas disyaki menyebabkan kematian seorang warga emas dan anak perempuannya di sebuah pangsapuri di Ayer Itam, Pulau Pinang, hari ini.

Ketua Polis Pulau Pinang Hamzah Ahmad berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam mengenai seorang individu membawa pisau dalam keadaan mencurigakan pada kira-kira 12.54 tengah hari.

Setibanya anggota polis di tempat kejadian, iaitu di hadapan lobi lif sebuah pangsapuri di Bandar Baru Farlim, mereka menjumpai tiga individu terbaring dalam keadaan berdarah.

“Sepasang bapa dan anak perempuannya, masing-masing berumur 62 tahun dan 30 tahun, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Manakala seorang lelaki berumur 32 tahun yang dipercayai suspek telah ditahan pihak polis,” katanya dalam kenyataan.

Hamzah berkata, suspek yang mengalami kecederaan dipercayai akibat mengelar dan menikam diri sendiri dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk rawatan.

Katanya, motif kejadian masih disiasat dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Hamzah turut meminta orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi di media sosial berhubung kes ini, sebaliknya saksi kejadian diminta tampil bagi membantu siasatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.