
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said berkata berdasarkan statistik Jabatan Insolvensi, sebanyak 1,009 kes direkodkan pada 2020, diikuti 678 (2021), 621 (2022), 628 (2023) dan 666 (dari Januari hingga September tahun ini).
Azalina berkata kerajaan mengambil langkah segara mengelakkan situasi itu menjadi teruk, antaranya meminta ketua jabatan menilai semula keupayaan pegawai berdepan masalah itu untuk membayarnya dari semasa ke semasa.
Beliau menjelaskan berdasarkan Peraturan Berkaitan Penyelenggaraan Taraf Kehidupan dan Keterhutangan Kewangan Serius, ia menggariskan bagi potongan gaji, pendapatan seseorang penjawat awam hendaklah berada sekurang-kurangnya minimum 40% daripada emolumen bulanan, melainkan ada pinjaman perumahan dan pendidikan.
“Selain teguran dan amaran, penjawat awam terbabit juga diberi bantuan kaunseling kewangan untuk membantu mengurus kewangan dengan lebih baik dan mengelakkan situasi muflis serta tindakan tatatertib berbangkit daripadanya,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.
Beliau menjawab soalan Richard Riot Jaem (GPS-Serian) yang meminta kerajaan menyatakan usaha dan tindakan dalam menangani masalah peningkatan kes muflis dalam kalangan penjawat awam semakin membimbangkan.
Mengulas lanjut, Azalina berkata kerajaan juga memantau situasi itu melalui Pelan Antirasuah Organisasi (OACP) yang dirancang untuk tempoh 2021 hingga 2025.
“Ia menyediakan langkah-langkah pencegahan, pendidikan dan penguatkuasaan yang kukuh untuk memastikan integriti dan ketelusan mengurus kewangan dalam kalangan penjawat awam,” katanya.
Menurutnya, Jabatan Insolvensi juga memainkan peranan dengan menjalankan program kesedaran berhubung kes bankrap.