Kegagalan kumpulan Sulu ‘peras ugut’ Malaysia kemenangan penting buat negara, kata Azalina

Kegagalan kumpulan Sulu ‘peras ugut’ Malaysia kemenangan penting buat negara, kata Azalina

Menteri undang-undang itu menyambut baik keputusan Mahkamah Agung Perancis menolak sepenuhnya cabaran perundangan difailkan oleh kumpulan itu.

azalina
Malaysia kini akan memfokus kepada usaha membatalkan award akhir yang diperoleh kumpulan mendakwa waris Sulu itu di Perancis secepat mungkin, kata Azalina Othman Said.
KUALA LUMPUR:
Keputusan Mahkamah Agung Perancis menolak sepenuhnya cabaran perundangan difailkan sekumpulan individu yang mendakwa sebagai waris Kesultanan Sulu adalah satu kejayaan penting buat Malaysia.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said berkata, dengan kegagalan percubaan memeras ugut itu, Malaysia kini akan memfokus kepada usaha membatalkan award akhir yang diperoleh kumpulan itu di Perancis secepat mungkin.

“Keputusan itu merupakan kemenangan penting buat Malaysia dalam strategi keseluruhannya menghalang usaha penguatkuasaan award itu secara tidak sah di seluruh dunia oleh kumpulan yang membuat tuntutan (dan pembiaya mereka, iaitu Therium) setakat ini.

“Usaha memeras ugut rakyat Malaysia telah gagal dan Malaysia kini akan memfokus kepada usahanya di Perancis untuk mendapatkan pembatalan award akhir itu secepat mungkin,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Mahkamah Agung Perancis menolak sepenuhnya cabaran perundangan difailkan oleh kumpulan itu.

Menerusi hantaran di laman Facebook, beliau menyifatkan ia sebagai kemenangan bersejarah buat Malaysia kerana keputusan penting itu bermakna asas awal yang membawa kepada award akhir, iaitu Malaysia perlu membayar pampasan kira-kira USD15 bilion tidak diiktiraf bawah undang-undang Perancis.

“Prosiding di Mahkamah Rayuan Paris akan diteruskan dalam masa terdekat untuk membatalkan award akhir yang dikeluarkan oleh Dr (Gonzalo) Stampa dan menyelesaikan isu itu secara muktamad dengan keputusan memihak kepada rakyat Malaysia,” katanya.

Azalina menyambut baik keputusan bersejarah yang dibuat oleh Mahkamah Agung Perancis itu dan menyifatkan ia sebagai kejayaan amat bermakna bagi kedaulatan undang-undang yang akan membantu memelihara kesucian proses timbang tara antarabangsa sebagai satu alternatif dalam penyelesaian pertikaian.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim atas sokongan dan kepercayaannya yang tidak berbelah bahagi terhadap usaha berterusan untuk menegakkan pendirian Malaysia.

Sebelum ini, lapan warga Filipina mendakwa sebagai waris Kesultanan Sulu yang sudah tidak wujud memfailkan prosiding timbang tara di Sepanyol bagi menuntut berbilion dolar AS daripada Malaysia berhubung isu membabitkan Sabah.

Pada Mac 2019, sebuah mahkamah di Madrid melantik Stampa sebagai penimbang tara bagi kes itu.

Pada 28 Feb 2022, Stampa membuat keputusan yang memihak kepada kumpulan itu dan mengeluarkan award akhir sebanyak USD14.9 bilion, meskipun pelantikan beliau sebagai penimbang tara dibatalkan oleh mahkamah Sepanyol.

Dalam usaha menguatkuasakan award akhir itu, kumpulan Sulu itu dilaporkan cuba menyita aset syarikat minyak Malaysia, iaitu Petronas di Luxembourg dan Belanda, selain menyasarkan aset diplomatik negara di Perancis (termasuk sebahagian daripada kedutaannya).

Pada 17 Mei lepas, Malaysia dimaklumkan mengenai keputusan mahkamah Madrid yang menolak rayuan Stampa dan mengekalkan hukuman penjara enam bulan terhadapnya serta perintah melarang beliau bertindak sebagai penimbang tara selama setahun.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.