
Mengulas dakwaan Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi itu, Pengerusi PAC Mas Ermieyati Samsudin berkata laporan berkenaan disediakan dengan syor daripada kementerian dan agensi dipanggil pada prosiding termasuk pembentangan Felcra sendiri.
“PAC tidak ‘tangkap muat’ maklumat dilaporkan dalam laporan mengenai Felcra terutama sekali berhubung isu penjualan Menara Semarak20. Semua makumat dan fakta diperoleh PAC dalam laporan berkenaan adalah didapati daripada pembentangan Felcra sendiri.
“Sehubungan itu, PAC mahu semua pihak termasuk menteri kemajuan desa dan wilayah (Zahid) membaca dahulu laporan berkenaan dan meneliti semua fakta dan maklumat sebelum membuat tuduhan terhadap PAC,” katanya dalam kenyataan.
Mas Ermieyati yang juga Ahli Parlimen Masjid Tanah mengingatkan semua pihak bahawa PAC terdiri daripada jawatankuasa bipartisan dianggotai 14 Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang.
Selain itu mereka dibantu wakil Jabatan Peguam Negara, Kementerian Kewangan, Jabatan Perkhidmatan Awam, Jabatan Audit Negara, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Kementerian Ekonomi dan Jabatan Akauntan Negara.
Terdahulu, Zahid meminta PAC supaya ‘tidak tangkap muat sahaja’ terhadap maklumat diperoleh dalam menyediakan laporan membabitkan Felcra berhubung prestasi penjualan bangunan komersial Semarak20 di Jalan Semarak, Kuala Lumpur.
Susulan itu, beliau mengarahkan pengerusi dan ketua pegawai eksekutif Felcra supaya memberikan penjelasan kepada PAC.
Kenyataan Zahid itu menyusul selepas PAC dalam laporannya semalam melahirkan kebimbangan dengan prestasi penjualan bangunan komersial tersebut dikendalikan Felcra, yang didakwa masih dalam status belum dijual dan cadangan itu hanya di peringkat perbincangan bersama pihak pembeli ketika ini.
Difahamkan, ada beberapa syarikat berpotensi dari dalam dan luar negara termasuk Singapura, Taiwan dan Emiriah Arab Bersatu, menunjukkan minat untuk membeli Semarak20 melalui kaedah en-bloc.
Empat syarikat secara rasmi sudah menyatakan minat untuk pembelian secara keseluruhan bangunan tersebut dengan mengemukakan surat hasrat, namun Felcra Properties Sdn Bhd (FPSB) masih menunggu pihak berkenaan membuat tawaran harga untuk tindakan selanjutnya.