Ahli perniagaan tuntut RM1 juta daripada Asri berhubung kenyataan di FB

Ahli perniagaan tuntut RM1 juta daripada Asri berhubung kenyataan di FB

Ahmad Muzaini Mydin juga mahukan permohonan maaf daripada Mufti Perlis Asri Zainul Abidin.

asri
Seorang ahli perniagaan dakwa kenyataan tertentu di laman FB Mufti Perlis Asri Zainul Abidin didorong oleh niat jahat.
PETALING JAYA:
Seorang ahli perniagaan di Perlis menuntut Mufti Asri Zainul Abidin membayar RM1 juta sebagai ganti rugi berhubung beberapa kenyataan di Facebook lima tahun lalu.

Ahmad Muzaini Mydin, seorang ahli PAS, juga mahukan satu injunksi terhadap Asri.

Dalam pernyataan tuntutan yang difailkan di Mahkamah Tinggi Perlis, Muzaini mendakwa kenyataan di akaun Facebook berkenaan beri gambaran bahawa dia dalang di sebalik komplot untuk mencederakan Asri, dan diupah untuk mencederakan Asri dengan menggunakan asid.

Menurutnya lagi, kenyataan itu beri gambaran bahawa dia seorang ekstremis yang menghalalkan kemusnahan harta dan mencederakan tubuh badan individu yang berbeza pandangan, penjenayah, dan tidak berperikemanusiaan.

Muzaini, yang memiliki rangkaian restoran dan gerai, berkata namanya dan gambarnya dilampirkan dalam satu kenyataan, dibuat selepas kejadian kereta Asri dibakar pada 2019.

Menurutnya, kenyataan itu mencemarkan reputasi dan kredibilitinya yang menyebabkan kemudaratan yang tidak boleh diperbaiki.

Muzaini juga mendakwa kenyataan itu didorong oleh niat jahat dan dendam politik.

Selain ganti rugi am, ahli perniagaan itu mahukan permohonan maaf daripada Asri, berhenti melakukan sebarang penerbitan sama atau seumpamanya pada masa depan, dan ganti rugi teruk.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.