Tekong darat ditahan seludup Pati guna kereta mewah

Tekong darat ditahan seludup Pati guna kereta mewah

Suspek warga tempatan itu disyaki menyeludup 15 warga Myanmar menggunakan kereta Mercedes Benz dan Nissan Grand Livina.

kenderaan mewah seludup pati
Dua kenderaan termasuk kereta mewah jenis Mercedes Benz yang digunakan suspek untuk menyeludup masuk 15 pendatang tanpa izin warga Myanmar. (Gambar PGA)
PETALING JAYA:
Pihak berkuasa menahan seorang lelaki kerana disyaki menyeludup masuk 15 pendatang asing tanpa izin warga Myanmar menggunakan kenderaan mewah jenis Mercedes Benz di Kampung Kok Keli di Tumpat, Kelantan.

Komander Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tenggara, Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, tangkapan itu dibuat oleh Batalion 8 PGA menerusi Op Taring pada Isnin lalu, lapor Harian Metro.

Katanya, dalam operasi berkenaan pihaknya menyerbu sebuah rumah selepas mendapat maklumat mengenai aktiviti penyeludupan manusia.

“Ketika anggota tiba di lokasi, dua lelaki disyaki tekong melarikan diri namun seorang daripadanya berjaya ditahan.

“Hasil pemeriksaan mendapati terdapat 14 lelaki dan seorang wanita menjadi penumpang dalam Mercedes Benz dan Grand Livina di depan rumah berkenaan,” katanya.

Nik Ros berkata, semua penumpang kenderaan itu dipercayai warga Myanmar gagal menunjukkan dokumen pengenalan diri yang sah.

Katanya, semua pendatang tanpa izin itu disyaki diseludup masuk ke negara ini melalui pangkalan haram.

“Seorang penduduk tempatan berusia 58 tahun yang ditahan dipercayai menjadi tekong untuk menyeludup masuk 15 warga asing itu ke negara ini.

“Semua suspek ditahan di bawah Sek 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 manakala tekong ditahan di bawah Sek 26J Akta ATIPSOM 2007,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.