Pendengaran permohonan Tommy Thomas supaya Roz Mawar tarik diri tangguh 9 Dis

Pendengaran permohonan Tommy Thomas supaya Roz Mawar tarik diri tangguh 9 Dis

Mahkamah menetapkan tarikh baharu itu bagi membolehkan Shahrir Samad memfailkan afidavit balasan kepada afidavit tambahan difailkan bekas peguam negara berkenaan.

tommy
Pada 26 Ogos lepas, bekas peguam negara Tommy Thomas memfailkan permohonan supaya Pesuruhjaya Kehakiman Roz Mawar Rozain menarik diri daripada mendengar saman yang difailkan oleh Shahrir Samad terhadapnya.
KUALA LUMPUR:
Pendengaran permohonan bekas peguam negara Tommy Thomas supaya Pesuruhjaya Kehakiman Roz Mawar Rozain menarik diri daripada mendengar saman yang difailkan oleh Shahrir Samad terhadap beliau dan tiga lagi berhubung pendakwaan berniat jahat, ditangguhkan hingga 9 Dis ini.

Peguam Mervyn Lai Wei Shiung yang mewakili Thomas berkata mahkamah menetapkan tarikh baharu itu bagi membolehkan Shahrir memfailkan afidavit balasan kepada afidavit tambahan yang difailkan bekas peguam negara pada Jumaat lepas.

“Oleh itu, kes ditangguhkan ke 9 Dis ini,” katanya kepada pemberita selepas prosiding kes itu hari ini di hadapan Roz Mawar, yang turut dihadiri peguam Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin, yang mewakili Shahrir.

Pada 26 Ogos lepas, Thomas memfailkan permohonan supaya Roz Mawar menarik diri selepas mendakwa beliau tidak akan mendapat perbicaraan yang adil sekiranya pesuruhjaya kehakiman itu mendengar kes saman berkenaan.

Pada 3 Julai lepas, Roz Mawar menolak permohonan Thomas untuk membatalkan saman itu dan kes ditetapkan bagi pendengaran penuh selama tujuh hari iaitu dari 9 hingga 12 Mac dan 27 hingga 29 April 2026.

Saman yang difailkan bekas Ahli Parlimen Johor Bahru itu pada Disember tahun lepas ialah berkaitan sekeping cek RM1 juta yang diterima Shahrir daripada bekas perdana menteri Najib Razak bagi tujuan kerja-kerja pemulihan projek perumahan Puri Langkasuka di Larkin, Johor.

Thomas yang menjadi peguam negara dari 4 Jun 2018 hingga 28 Feb 2020 dalam afidavitnya telah menafikan dakwaan Shahrir terhadap beliau termasuk salah guna kuasa dan menyifatkan ia sebagai ‘tidak boleh dipertahan’.

Beliau berkata budi bicara sama ada untuk mendakwa hanya boleh dilaksanakan selepas pendakwa raya menerima kertas siasatan daripada agensi penyiasat seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Thomas berkata beliau telah meletak jawatan pada 28 Feb 2020, dan pada 26 Julai 2022 perbicaraan jenayah Shahrir bagi pertuduhan itu bermula.

Pada 5 Jan 2023, Mahkamah Tinggi di sini membebaskan Shahrir daripada pertuduhan gagal mengisytihar pendapatan RM1 juta yang diterima daripada Najib kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) selepas pendakwaan memaklumkan bahawa ia tidak berhasrat untuk meneruskan kes itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.