Kerajaan bantah saman Yusoff cabar peruntukan tidak benarkan ikat jamin

Kerajaan bantah saman Yusoff cabar peruntukan tidak benarkan ikat jamin

Peguam kata kerajaan mengambil pendirian sama apabila Yusoff Rawther mahu merujuk Seksyen 41B Akta Dadah Berbahaya ke Mahkamah Persekutuan.

Yusoff Rawther dakwa dia dalam ‘risiko’ jika terus ditahan reman di Penjara Sungai Buloh sementara menunggu perbicaraan selesai.
KUALA LUMPUR:
Kerajaan membantah saman oleh Yusoff Rawther bagi mendapatkan pengisytiharan bahawa peruntukan dalam Akta Dadah Berbahaya yang tidak membenarkan dia diikat jamin melanggar haknya yang dijamin perlembagaan.

Peguam kepada bekas penyelidik itu, Rafique Rashid Ali, berkata kerajaan yang diwakili peguam persekutuan, Muhairi Mohamed Noh, memaklumkan pendirian itu kepada Hakim Wan Ahmad Farid Wan Salleh semasa pengurusan kes di Mahkamah Tinggi hari ini.

Menurut Rafique, kerajaan mengambil pendirian sama apabila Yusoff mahu merujuk Seksyen 41B akta sama ke Mahkamah Persekutuan.

“Mahkamah mengarahkan kami memfailkan afidavit sebelum 20 Jan,” kata peguam itu kepada pemberita selepas prosiding.

Yusoff didakwa di Mahkamah Majistret pada September atas tuduhan mengedar ganja dan memiliki senjata api palsu.

Yusoff kemudian memfailkan saman, memohon mahkamah mengisytiharkan Seksyen 41B — yang tidak membenarkan mereka yang didakwa atas kesalahan dadah diikat jamin — tidak mengikut Perlembagaan, dan meminta isu itu dirujuk ke Mahkamah Persekutuan untuk penentuan.

Menurut Yusoff, peruntukan itu akan menyebabkan dia direman di Penjara Sungai Buloh selama antara tiga hingga lima tahun, sementara menunggu perbicaraan selesai.

Menurutnya lagi, dia dalam ‘risiko’ jika terus ditahan reman.

Rafique berkata kes dadah dan senjata api Yusoff ini ditetapkan untuk pengurusan kes pada 12 Nov.

Yusoff menghadapi pertuduhan mengikut Seksyen 36(1) Akta Senjata kerana memiliki dua pistol palsu, yang boleh dihukum penjara sehingga setahun dan denda sehingga RM5,000, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.