2 bekas banduan aktif rompak 20 kedai serbaneka ditangkap

2 bekas banduan aktif rompak 20 kedai serbaneka ditangkap

Polis berkata kedua-dua suspek baru keluar dari penjara pada April lalu dan aktif melakukan rompakan di sekitar Kota Bharu, Tumpat, Pasir Mas dan Jeli.

Ketua Polis Kelantan Mohd Yusoff Mamat berkata kedua-dua suspek itu mempunyai rekod jenayah termasuk berkaitan dadah. (Gambar Bernama)
KOTA BHARU:
Dua bekas banduan yang dipercayai terlibat dalam sekurang-kurangnya 20 kes rompakan kedai serbaneka di negeri ini berjaya ditahan di Kampung Baung, Pengkalan Chepa, Jumaat lalu.

Ketua Polis Kelantan Mohd Yusoff Mamat berkata kedua-dua lelaki berumur 33 dan 34 tahun yang baru keluar dari penjara pada April lalu disyaki aktif melakukan kegiatan itu di sekitar bandar ini, Tumpat, Pasir Mas dan Jeli.

“Modus operandi mereka merompak pada waktu malam dan menggunakan peralatan seperti gergaji elektrik, mesin penebuk serta mesin pencanai untuk memecah masuk kedai serbaneka.

“Lelaki berusia 33 tahun memiliki satu rekod jenayah dan tiga rekod dadah manakala seorang lagi memiliki tujuh rekod jenayah serta empat rekod dadah,” katanya pada sidang media.

Beliau berkata kedua-duanya yang positif dadah jenis Methamphetamine kini direman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Yusoff berkata susulan itu, polis sedang memburu seorang lelaki, Muhammad Amir Izudin Mohd Izam, 26, yang dipercayai dalang kegiatan berkenaan dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitannya tampil memberi maklumat di balai polis berhampiran.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.