Peguam negara dijangka dilantik hakim Mahkamah Persekutuan, menurut sumber

Peguam negara dijangka dilantik hakim Mahkamah Persekutuan, menurut sumber

Ahmad Terrirudin Salleh, 56, menjadi peguam negara kedua dinaikkan sebagai hakim mahkamah atasan.

Ahmad Terrirudin Salleh dijangka menerima surat cara lantikan daripada Yang di-Pertuan Agong, di Istana Negara pada 12 Nov. (Gambar AGC)
PETALING JAYA:
Peguam Negara Ahmad Terrirudin Salleh hampir pasti dilantik hakim Mahkamah Persekutuan minggu depan, perkara sama yang pernah berlaku pada 2001, menurut sumber.

Terrirudin, 56, berkhidmat 14 bulan sejak September tahun lalu, sekali gus menjadikannya pendakwa raya paling singkat pernah menjawat jawatan itu.

Beliau dijangka menerima surat lantikan daripada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim, di Istana Negara, pada 12 Nov.

“Tidak lama selepas itu, Terriruddin akan mengangkat sumpah jawatan di hadapan Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat,” kata sumber kepada FMT.

Satu-satunya peguam negara sebelum ini dilantik hakim mahkamah atasan adalah Mohtar Abdullah, yang dinaikkan ke mahkamah besar selepas bersara pada usia 55 tahun, pada 2001.

Bagaimanapun, kurang tiga bulan kemudian, Mohtar mengalami strok. Beliau meninggal dunia pada 7 Julai 2003, pada usia 59.

Sebagai peguam negara, Terriruddin telah memenuhi kelayakan untuk menjadi hakim Mahkamah Persekutuan. Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan menyatakan sebarang pelantikan ke jawatan itu layak menjadi hakim Mahkamah Persekutuan.

Di bawah Perkara 123 Perlembagaan Persekutuan, seseorang warganegara layak menjadi hakim Mahkamah Persekutuan dan telah menjadi peguam bela bagi Mahkamah Besar atau menjadi anggota perkhidmatan kehakiman dan perundangan persekutuan selama tempoh tidak kurang daripada sepuluh tahun.

Terrirudin, yang memulakan kerjaya sebagai pegawai undang-undang pada 1992, telah berkhidmat di pelbagai kedudukan, termasuk hakim Mahkamah Sesyen dan kemudian dilantik pengerusi Mahkamah Perusahaan di Pulau Pinang dan Kuala Lumpur.

Beliau juga pernah menjadi timbalan ketua jabatan sivil di Pejabat Peguam Negara dan berkhidmat sebagai penasihat undang-undang Kedah, sebelum dilantik ketua pendaftar di Mahkamah Persekutuan pada 2019.

Pada 25 Mac 2022, beliau dilantik sebagai peguam cara negara, dan diangkat menjadi peguam negara, pada 6 Sept tahun lalu.

Pengganti Terriruddin sebagai peguam negara dijangka dilantik dalam kalangan pegawai Pejabat Peguam Negara.

Seorang pegawai kanan Pejabat Peguam Negara berkata, Terriruddin akan menghantar surat perletakan jawatan sebagai peguam negara tidak lama lagi. Hari terakhirnya sebagai pendakwa raya pada 11 Nov.

Hakim baharu Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi

Hakim Mahkamah Tinggi Noorin Badaruddin, Firuz Jaffril, Alwi Abdul Wahab, Faizah Jamaluddin, Ahmad Kamal Shahid, Ismail Brahim, dan Wan Ahmad Farid Wan Salleh, dijangka diangkat kedudukan di Mahkamah Rayuan.

Sejumlah 16 pesuruhjaya kehakiman yang berkhidmat sejak dua tahun lalu juga akan disahkan sebagai hakim Mahkamah Tinggi.

Mereka adalah Azizan Arshad, Narkunavathy Sundareson, Noor Ruwena Nurdin, Jamhirah Ali, Noor Hayati Mat, Azlan Sulaiman, Kenneth Yong Ken Chinson St James, Leong Wai Hong, Noor Hisham Ismail, Roz Mawar Rozain, Fathiyah Idris, Wan Fadhilah Nor Wan Idris, Rofiah Mohamad, Wong Mee Ling, Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan, dan Suria Kumar Durairaj Johnson Paul.

Semuanya bakal menerima surat cara pelantikan daripada Agong, pada hari sama.

Seramai tujuh hakim Mahkamah Rayuan akan mengangkat sumpah jawatan di hadapan Presiden Mahkamah Rayuan Abang Iskandar Abang Hashim, manakala 16 hakim baharu Mahkamah Tinggi akan mengangkat sumpah di hadapan hakim paling kanan Mahkamah Tinggi, Akhtar Tahir.

Mengikut Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan, semua pelantikan kehakiman dibuat oleh Agong, yang bertindak atas nasihat perdana menteri dan perundingan Majlis Raja-raja.

Sumber berkata, pencalonan Terriruddin dan semua pelantikan kehakiman telah dikemukakan kepada Majlis Raja-raja, yang bersidang pada Julai.

Sumber turut memaklumkan kepada FMT bahawa jawatan hakim besar Malaya, yang kosong sejak lapan bulan dijangka tidak akan diisi dalam masa terdekat.

“Jawatan itu ada dibincangkan pada Persidangan Majlis Raja-raja hujung bulan lalu, namun tiada keputusan muktamad dicapai,” kata sumber itu.

Ketika ini, Abang Iskandar memangku tugas dan fungsi hakim besar Malaya selepas persaraan wajib Zabidin Diah, pada 29 Feb.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.