
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu berkata ini kerana operasi akan diuruskan barisan pentadbir berpengalaman.
“Saya harap semuanya tidak perlu bimbang dengan operasi NAFAS pada waktu penggantungan ini kerana diuruskan barisan pentadbir mahir dalam tugasan mereka,” katanya ketika berucap merasmikan Konvensyen Kebangsaan Kumpulan Pengguna Air (KpA) 2024.
Mohamad turut memberi jaminan kementeriannya tidak akan mengganggu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan bersedia membantu untuk melancarkannya.
1 Nov lalu, perlembagaan Nafas digantung bagi menambah baik tatakelola dan tadbir urus pertubuhan itu.
Ketua Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Amir Matamin berkata selaku pendaftar Pertubuhan Peladang, beliau mengeluarkan arahan itu bawah Seksyen 20(1) Akta Pertubuhan Peladang 1973 (Akta 109), susulan konflik dalaman dan ketidakharmonian yang telah menjejaskan operasi dan fungsi Nafas.
SPRM pula baru-baru ini memulakan siasatan berhubung kewujudan kartel dalam pengagihan dan perbekalan kontrak baja padi di sebuah pertubuhan di bawah kawalan sebuah kementerian yang dianggarkan bernilai RM1.8 bilion.
Difahamkan beberapa siri pembongkaran telah dilakukan suruhanjaya berkenaan di sekitar Kuala Lumpur termasuk di ibu pejabat pertubuhan, kementerian dan sembilan syarikat yang mendapat projek berkaitan.