MPT baharu Bersatu satu kompromi menang-menang, kata penganalisis

MPT baharu Bersatu satu kompromi menang-menang, kata penganalisis

Majoriti ahli MPT adalah Ahli Parlimen dan Adun, tetapi ketiadaan wakil wanita yang dipilih dilihat boleh menjejaskan sokongan parti.

perhimpunan agung bersatu
Ahli Bersatu memilih semua lelaki dalam Majlis Pimpinan Tertinggi, dengan satu-satunya wakil wanita mewakili ketua sayap wanita. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu yang baru dipilih dilihat penganalisis politik sebagai seimbang dan mampu membantu memberi semangat baharu kepada parti selepas mengalami kekalahan moral dan pilihan raya.

Azmi Hassan dari Akademi Nusantara menyifatkan keputusan pemilihan kepimpinan tertinggi sebagai kompromi menang-menang bagi kedua-dua kumpulan yang menyokong Hamzah Zainudin dan Azmin Ali.

“Azmin mempunyai wakil seperti Saifuddin Abdullah atau Dr Afif Bahardin, namun Hamzah dan presiden parti (Muhyiddin Yassin) juga mempunyai orang mereka dalam MPT. Secara keseluruhan, tiada pihak yang boleh mendakwa mereka menguasai MPT.

“Bagaimanapun, saya rasa kem Azmin kekurangan pengaruh kerana beliau setakat ini tiada jawatan. Beliau mungkin ditawarkan jawatan setiausaha agung, tetapi saya rasa Azmin tidak akan menerimanya,” katanya kepada FMT.

Namun, Azmi menyifatkan ketiadaan seorang pun wakil wanita dalam MPT yang terdiri daripada 20 anggota itu sebagai sesuatu yang ‘amat pelik’ dan memberi amaran bahawa ini boleh menjejaskan sokongan terhadap Bersatu.

“Tanpa wakil wanita yang dipilih, ia akan menjadi satu kekurangan buat Bersatu dalam menyatakan bahawa mereka untuk semua golongan. Mungkin presiden parti boleh menggunakan kuasanya untuk melantik sekurang-kurangnya seorang wakil wanita,” katanya.

Semua ahli MPT yang dipilih pada Ahad itu lelaki. MPT sebelum ini mempunyai dua wanita, iaitu Adun Ayer Hangat, Shamsilah Siru, dan Azlinda Abdul Latif, bekas pembantu Muhyiddin ketika beliau menjadi perdana menteri.

Bagaimanapun, Mas Ermieyati Samsudin masih menjadi ahli MPT berdasarkan jawatannya sebagai ketua sayap wanita.

Kelebihan politik daripada wakil rakyat

Sementara itu, penganalisis Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia berkata majoriti MPT yang dipilih adalah Ahli Parlimen atau Adun, menjadikan mereka lebih menonjol, dan menyifatkan ini sebagai pilihan yang tepat bagi memperkukuh parti menjelang PRU akan datang.

Mazlan bersetuju bahawa tiada kem yang mendominasi kepimpinan tertinggi dan menunjukkan perwakilan lebih matang dalam membuat undian.

Beliau juga menyatakan contoh kekalahan bekas pemimpin kontroversi PKR, Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Chegubard.

“Walaupun Chegubard lantang dan berani menyuarakan isu tertentu, nampaknya perwakilan Bersatu lebih memilih pemimpin yang dilihat lebih menonjol dalam dunia politik, iaitu ahli parlimen atau Adun.

“Bagi saya, pemimpin yang dipilih adalah tepat kerana mereka merupakan tokoh yang boleh memainkan peranan penting dan mempunyai pengaruh besar dalam masyarakat,” katanya.

Bersatu adalah satu-satunya parti yang mengalami ‘pembelotan secara tidak langsung’ selepas enam Ahli Parlimen dan seorang Adun Selangor menyatakan sokongan kepada kerajaan perpaduan tanpa meninggalkan parti, mengeksploitasi kelompangan dalam undang-undang anti-lompat parti.

Parti pimpinan Muhyiddin itu juga mengalami prestasi buruk dalam pilihan raya kecil, mewakili Perikatan Nasional dalam empat kerusi dan tewas semuanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.