Misi bantuan Kristine: Pasukan tentera udara selamat pulang dari Filipina

Misi bantuan Kristine: Pasukan tentera udara selamat pulang dari Filipina

Tentera udara berjaya melaksanakan sembilan 'sortie' dalam misi bantuan mangsa ribut tropika itu sejak 27 Okt hingga 1 Nov.

Sepasukan tentera udara diatur gerak ke Filipina pada 26 Okt lepas bagi membantu rakyat negara itu yang terjejas dengan banjir besar dan tanah runtuh akibat ribut tropika Kristine. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Kesemua 16 pegawai dan anggota tentera udara bersama helikopter EC 725 AP daripada Skuadron No 5 yang diatur gerak ke Filipina pada 26 Okt lepas bagi Misi Bantuan Kemanusiaan dan Bencana (HADR) selamat tiba di Pangkalan Udara Labuan pada Sabtu lepas.

Tentera udara memaklumkan mereka diatur gerak bagi memberikan bantuan dan sokongan kepada kerajaan Filipina dalam usaha membantu rakyat negara itu yang terjejas dengan banjir besar dan tanah runtuh akibat ribut tropika Kristine.

Tentera udara berjaya melaksanakan sembilan ‘sortie’ atau misi penerbangan sepanjang HADR bermula dari 27 Okt hingga 1 Nov lepas, tambahnya.

“Ia melibatkan penerbangan membawa sejumlah 17.5 tan bekalan bantuan termasuk bot dengan enjin (0.82 tan), kanvas tarpaulin (8.22 tan) dan bekalan makanan dalam kotak (8.4 tan),” katanya dalam kenyataan.

“Kejayaan misi ini bukan sahaja memberi manfaat kepada rakyat Filipina yang terkesan bencana tetapi turut mengeratkan lagi hubungan serantau antara Malaysia dan Filipina dalam usaha bersama menangani kesan bencana alam selain menunjukkan komitmen tentera udara alam melaksanakan HADR.”

Menurut tentera udara, sebelum pulang, pasukannya diraikan oleh Angkatan Udara Filipina (PAF) di Pangkalan Udara Villamor, Pasay City, Filipina sebagai penghormatan kerana telah memainkan peranan penting dalam memberikan bantuan kepada mereka.

Dalam pada itu, Setiausaha Pertahanan Filipina Gilberto Teodoro Jr. turut menyatakan penghargaan terhadap bantuan segera Malaysia.

“Sokongan anda pada saat kritikal ini sangat berharga dalam usaha pemulihan kami selepas ribut tropika Kristine. Ini membuktikan hubungan erat antara negara kita yang terjalin di saat-saat diperlukan,” katanya menerusi kenyataan tentera udara.

Majlis penghargaan itu turut dihadiri pegawai tertinggi PAF Lt Jen Stephen Parreno, Mej Jen Aristotle Gonzalez dan Mej Jen Pablo Rustria Jr. serta Timbalan Ketua Misi Kedutaan Malaysia di Filipina Norjufri Nizar Edrus.

Menurut tentera udara, pesawat berlepas dari Pangkalan Udara Villamor, Manila ke Pangkalan Udara Labuan pada 8 pagi, 2 Nov dan penerbangan mengambil masa enam jam termasuk persinggahan di Pangkalan Udara Antonio Bautista, Puerto Princesa, untuk mengisi bahan api.

“Pegawai dan anggota selamat tiba di Pangkalan Udara Labuan pada 3 petang. Mereka disambut oleh pegawai dan anggota skuadron serta ahli keluarga.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.