Lebih 140,000 permohonan Budi Individu lulus

Lebih 140,000 permohonan Budi Individu lulus

Secara keseluruhan, kerajaan belanja RM160 juta untuk Budi Individu dan Budi Agri-Komoditi setakat 31 Okt tahun ini.

Diesel
Budi Individu dan Budi Agri-Komoditi disediakan susulan penyasaran semula subsidi diesel, masing-masing untuk pemilik kenderaan diesel individu dan golongan petani, penternak dan pekebun kecil.
KUALA LUMPUR:
Kementerian Kewangan memaklumkan lebih 140,000 permohonan Budi Individu diluluskan setakat 31 Okt tahun ini, dalam tempoh lima bulan pelaksanaan penyasaran subsidi diesel.

Turut lulus 65,000 Budi Agri-Komoditi dalam tempoh yang sama.

Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan melaporkan kepada Dewan Rakyat bahawa kerajaan membelanjakan sebanyak RM160 juta untuk kedua-dua bantuan subsidi tunai itu, secara keseluruhan.

Budi Individu dan Budi Agri-Komoditi disediakan susulan penyasaran semula subsidi diesel di Semenanjung pada Jun, masing-masing untuk pemilik kenderaan diesel individu dan golongan petani, penternak dan pekebun kecil.

Amir Hamzah Azizan
Amir Hamzah Azizan.

Menteri menjawab pertanyaan Aminolhuda Hassan (PH-Sri Gading), berhubung keberkesanan pelaksanaan penyasaran semula subsidi diesel yang diusahakan melalui Budi Madani.

“Pelaksanaan penyasaran subsidi diesel menunjukkan penurunan mendadak dari segi penjualan diesel daripada stesen minyak iaitu sekitar 25% atau hampir 7 juta liter sehari mencerminkan pengurangan aktiviti penyeludupan.

“Manakala, jualan diesel secara komersil pula menunjukkan peningkatan hampir 50% atau 4 juta liter sehari menggambarkan setakat mana sektor industri berhenti membeli diesel bersubsidi daripada stesen minyak,” kata menteri.

Sementara itu, Amir berkata penyasaran subsidi diesel setakat ini menjana penjimatan sekitar 600 juta ringgit sebulan, berdasarkan data awal.

“Pada masa yang sama, kadar inflasi kekal pada tahap terkawal,” katanya.

“Baru-baru ini menunjukkan penurunan dengan kenaikan Indeks Harga Pengguna 2.0% pada Julai lalu, 1.9% untuk Ogos dan 1.8% pada September.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.