
Zahid yang juga pengerusi Barisan Nasional berkata sebarang keputusan untuk Umno Johor bertanding menentang Amanah dalam pilihan raya akan ditentukan oleh pucuk pimpinan parti.
“Selagi pengerusi, presiden atau setiausaha agung mana-mana parti (tidak) mengeluarkan kenyataan kita anggap ia sebagai pandangan peribadi dan bukan dasar parti,” katanya kepada media selepas satu program di Parlimen.
Beliau mengulas kenyataan Setiausaha Umno Johor Abdul Halim Suleiman bahawa Umno Johor sedia ‘berperang’ dengan Amanah pada pilihan raya akan datang, selepas parti itu berhasrat bertanding 20 kerusi DUN Johor.
Bagaimanapun, Halim menegaskan fokus Umno Johor kini untuk membantu rakyat bukan berpolitik sehingga PRN atau PRU16 berlangsung.
“Umno tak ada masalah berperang dan bertarung dengan Amanah pada PRN atau PRU16 nanti tetapi ini bukan masanya berpolitik,” katanya.
Semalam, Timbalan Pengerusi Amanah Johor Dzulkefly Ahmad berkata parti itu mahu bertanding 20 daripada 56 kerusi DUN Johor pada pilihan raya akan datang.
Tindakan itu kerana BN tidak mahu menubuhkan kerajaan perpaduan di negeri terbabit.
Pada September tahun lalu, Menteri Besar Onn Hafiz Ghazi dilaporkan berkata tiada keperluan menubuhkan kerajaan perpaduan kerana kerajaan negeri ditubuhkan sebelum PRU15.
Bulan lalu, Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook berharap polemik kerajaan perpaduan di Johor dihentikan dan tidak perlu ditimbulkan.
Pada PRN Mac 2022, PH memperuntukkan 20 kerusi DUN kepada Amanah, yang akhirnya terpaksa berpuas hati dengan hanya satu kerusi apabila selesai pilihan raya.