Jenama BN di Sabah tak lapuk, kata pemimpin Umno

Jenama BN di Sabah tak lapuk, kata pemimpin Umno

Abdul Rahman Dahlan berkata BN masih diterima berdasarkan keputusan pada PRN Sabah, empat tahun lalu.

Ahli BN kibar bendera
Abdul Rahman Dahlan berkata BN hanya boleh bergerak solo sebagai langkah terakhir jika gabungan strategik tidak dapat dicapai.
PETALING JAYA:
Seorang pemimpin Umno menepis dakwaan jenama Barisan Nasional (BN) ‘telah lapuk’ di Sabah yang menyukarkannya mencipta kejayaan termasuk menawan negeri itu pada PRN dijangka tahun depan.

Menjawab label diberikan penganalisis politik Bilcher Bala dari Universiti Malaysia Sabah, Timbalan Ketua Umno Sabah Abdul Rahman Dahlan berkata keputusan PRN berlangsung empat tahun lalu menunjukkannya masih diterima.

“Sebenarnya jenama BN Sabah tidak lapuk.

“Dalam pilihan raya negeri (PRN Sabah) 2020, BN masih memperolehi lebih banyak kerusi DUN berbanding dengan sebahagian besar parti-parti politik bertanding pada waktu itu,” katanya kepada FMT merujuk keputusan 14 kerusi dimenangi komponen itu pada PRN lalu.

Semalam, FMT melaporkan kenyataan Bilcer yang dipetik berkata jenama BN di Negeri Bawah Bayu itu kini dilihat sudah lapuk dan memerlukan transformasi menerusi kerjasama dengan parti lain untuk meraih kemenangan dalam pilihan raya.

Beliau mengulas kenyataan Pengerusi BN Sabah Bung Moktar Radin yang dilaporkan berkata gabungan itu bersedia bergerak solo pada PRN akan datang jika tiada kesepakatan kerjasama dicapai dengan parti lain.

Pada 28 Okt lalu, Pengerusi BN Zahid Hamidi berkata pihaknya sudah memuktamadkan kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) untuk menghadapi PRN Sabah dan pada masa sama tidak menolak kemungkinan penyertaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Dalam pada itu, Rahman berpandangan bergerak solo hanya boleh menjadi strategi akhir untuk mana-mana parti politik di Sabah termasuk BN jika gabungan strategik tidak dapat dicapai.

“Dalam keadaan di mana semua parti politik ada kekuatan dan kelemahan masing-masing, parti politik perlu meletakkan kestabilan Sabah sebagai agenda utama.

“Risiko politik Sabah terjerumus kepada ketidakstabilan adalah tinggi jika semua parti mahu bergerak bersendirian tanpa bergabung,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.