
Ketua Polis Kuala Lumpur Rusdi Mohd Isa berkata siasatan pihaknya mendapati tiada unsur dendam dan pergaduhan dalam kejadian terbabit.
“Sebaliknya, kejadian berlaku tanpa motif apabila suspek bertanya kepada mangsa sama ada pernah cuba atau tidak (seterika) yang panas.
“Tiada motif sebenarnya, tidak ada dendam, pergaduhan atau buli. Hanya bergurau, nak kata ‘ragging’ tak juga, itu bukan ‘ragging’.
“Bila ada benda-benda berbahaya seperti senjata atau barang panas jangan sesekali bermain (bergurau), ini kali pertama mangsa kena,” katanya selepas merasmikan satu program di Kepong, menurut Harian Metro.
Mengulas lanjut, Rusdi berkata kertas siasatan berhubung kejadian itu juga sudah diserahkan Jabatan Peguam Negara dan pihaknya sedang menunggu arahan lanjut.
“Laporan perubatan masih belum peroleh. Laporan perubatan boleh digunakan oleh siasatan dan pendakwaan untuk buat apa apa keputusan awal.
“Tapi setakat ini kita belum terima namun itu tidak menghalang untuk kita katakan kertas siasatan sudah lengkap,” katanya.
Berhubung tiada tangkapan dilakukan, beliau menjelaskan ia kerana pihaknya sudah memperoleh bahan bukti dan keterangan daripada semua yang terbabit.
“Ia bergantung kepada kes, tangkapan dalam apa-apa sahaja siasatan tidak semestinya ditangkap pada masa itu, boleh juga ditangkap dan terus tuduh di mahkamah,” katanya.
Sebelum ini, Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang mengulas kejadian itu berkata beliau menyerahkan kepada polis untuk menyiasat kes buli berkenaan..
Beliau menegaskan, budaya buli di universiti perlu dihentikan kerana ia menyebabkan penganiayaan kepada mangsa.
Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sebelum itu menyiasat kes seorang pegawai kadet di Akademi Latihan Ketenteraan (ALK) UPNM Sungai Besi yang dipercayai menjadi mangsa buli dan dera oleh seorang penuntut senior.