Bersatu mungkin harap ‘muka lama’ Mas Ermieyati, Rahim tawan Melaka

Bersatu mungkin harap ‘muka lama’ Mas Ermieyati, Rahim tawan Melaka

Namun penganalisis Salawati Mat Basir berpendapat cabaran Mas Ermieyati Samsudin dan Abdul Rahim Thamby Chik bukan mudah.

Mas Ermieyati Samsudin dan Abdul Rahim Thamby Chik menang ketua Bersatu Masjid Tanah serta Alor Gajah pada pemilihan parti minggu lalu.
PETALING JAYA:
Mas Ermieyati Samsudin dan Abdul Rahim Thamby Chik mungkin sesuai dipertaruh sebagai calon ketua menteri Perikatan Nasional (PN) untuk menawan Melaka susulan kemenangan sebagai ketua Bersatu Masjid Tanah serta Alor Gajah, kata penganalisis politik.

Bagaimanapun, Salawati Mat Basir dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berpendapat cabaran bekas ketua menteri dan timbalan menteri itu bukan mudah kerana perlu berdepan populariti pemimpin muda Umno antaranya Adun Duyong Mohd Noor Helmy Abdul Halem dan Adun Merlimau Dr Akmal Saleh.

“Yang menang dalam pemilihan Bersatu itu pun asalnya dari Umno, dan nama-nama seperti Mas Ermieyati, Rahim orang Melaka dah kenal semasa dalam Umno.

“Walaupun nama besar, mereka kena keluar idea segar dan buktikan mampu setanding pemimpin Umno di Melaka sebab rakyat Melaka suka Yang Berhormat (YB) muda dari Umno yang lantang serta berani mempertahankan isu Melayu dan Islam,” katanya kepada FMT.

“Jujurnya BN ada kelebihan (PRN akan datang). Kita nampak sekarang BN lebih kukuh di Melaka dan agak sukar digugat parti lain.”

Jawatan pengerusi PN Melaka kini disandang Adun Bemban Dr Mohd Yadzil Yaakub. Bagaimanapun, kedudukannya sebagai ketua Bersatu Jasin masih samar kerana penggantungan bahagian itu menyebabkannya tidak boleh mengadakan pemilihan, minggu lalu.

Pada pemilihan itu, Rahim yang berkhidmat sebagai ketua menteri Melaka keenam dari 1982 hingga 1994 menang ketua Bersatu Alor Gajah selepas menewaskan pencabar Mohd Zamri Abu Bakar.

Manakala, Mas Ermieyati yang juga Ahli Parlimen Masjid Tanah mengatasi pencabarnya Rosni Sham Samion untuk kekal sebagai ketua Bersatu bahagian tersebut. Beliau pernah menjadi timbalan menteri dari 2015 hingga 2018 serta 2020 hingga 2022.

Tawfik Yaakub dari Universiti Malaya pula berpandangan, bekas pemimpin Umno yang semakin tidak berpengaruh merujuk kepada kemenangan Rahim, memperlihatkan Bersatu semakin ketandusan pelapis untuk diangkat sebagai pemimpin.

“Saya tak nampak PN sedia nak menawan Melaka jika pemimpin ini dikitar semula untuk berdepan pemimpin Umno kuat di peringkat akar umbi serta negeri,” katanya.

Katanya, kerjasama BN dan Pakatan Harapan (PH) dalam kerajaan perpaduan juga memberi laluan mudah kepada Umno/BN untuk menewaskan calon PN pada pilihan raya akan datang, sekali gus mengekalkan cengkamannya di negeri selat itu.

Sementara itu, Felo Majlis Profesor Negara, Azmi Hassan, berkata Bersatu dan PN seharusnya sedar hasil PRN Melaka pada 2021 menunjukkan cita rasa pengundi mahukan pemimpin muda memimpin negeri, dengan memanfaatkan platform pemilihan dalam mencungkil pemimpin pelapisnya.

“Bersatu sepatutnya menggunakan medan pemilihan untuk mengemukakan muka baru, bukan ambil muka lama. Memang mereka orang lama, dapat tarik perhatian tetapi setakat itu sahaja, tiada perubahan besar.

“Rakyat Melaka mahukan perubahan dan ia hanya boleh berlaku dengan muka-muka baru dalam hierarki struktur Bersatu, bukan saja di Melaka tapi di peringkat nasional,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.