
Bagaimanapun, Setiausaha Umno Johor Abdul Halim Suleiman menegaskan fokusnya kini untuk membantu rakyat bukan berpolitik sehingga PRN atau PRU16 berlangsung.
Menurutnya, ia seiring nasihat Presiden Umno Zahid Hamidi supaya semua parti dalam kerajaan perpaduan menumpukan usaha membantu rakyat yang dilihat tidak diendahkan Amanah Johor.
“Umno tak ada masalah berperang dan bertarung dengan Amanah pada PRN atau PRU16 nanti tetapi ini bukan masanya berpolitik,” katanya dalam kenyataan.
Beliau mengulas kenyataan Timbalan Pengerusi Amanah Johor Dzulkefly Ahmad yang mahu bertanding 20 daripada 56 kerusi DUN pada pilihan raya akan datang.
Tindakan itu kerana BN tidak mahu menubuhkan kerajaan perpaduan di negeri terbabit.
Mengulas lanjut, Halim berkata hasrat Amanah Johor itu jelas menunjukkan nafsu mereka mengejar jawatan dalam kerajaan negeri tidak pernah padam, malah semakin menjadi-jadi.
Dakwanya, Amanah Johor juga ibarat ‘tak sedar diuntung’ apabila menang dua kerusi Parlimen dan satu DUN atas kekuatan rakan dalam Pakatan Harapan (PH) bukan atas kekuatan sendiri.
Amanah mewakili Parlimen Pulai dan Sri Gading selain DUN Simpang Jeram.
“Jadi saya nak pesan kepada Amanah Johor jangan sombong kerana mereka hanya parti menempel simpati DAP saja dalam PH – tetapi sekarang Amanah nak berlagak macam juara,” kata ketua Umno Tebrau itu.
Pada September tahun lalu, Menteri Besar Onn Hafiz Ghazi dilaporkan berkata tiada keperluan menubuhkan kerajaan perpaduan kerana kerajaan negeri ditubuhkan sebelum PRU15.
Bulan lalu, Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook berharap polemik kerajaan perpaduan di Johor dihentikan dan tidak perlu ditimbulkan.
Pada PRN Mac 2022, PH memperuntukkan 20 kerusi DUN kepada Amanah, yang akhirnya terpaksa berpuas hati dengan hanya satu kerusi apabila selesai pilihan raya.