Amanah Johor perlu ‘pijak di bumi nyata’ sebelum tanding 20 kerusi, kata penganalisis

Amanah Johor perlu ‘pijak di bumi nyata’ sebelum tanding 20 kerusi, kata penganalisis

Tawfik Yaakub berkata Amanah perlu bertanding berdasarkan kekuatan sendiri bukan bergantung kekuatan parti lain.

amanah
Amanah hanya mampu memenangi satu kerusi DUN daripada 20 yang diperuntukkan kepadanya pada PRN Johor 2022. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Amanah perlu berhati-hati dan melihat kemampuannya sebelum mahu bertanding sehingga 20 kerusi DUN di Johor kerana kekuatannya banyak bergantung kepada rakan dalam Pakatan Harapan (PH), kata penganalisis.

Tawfik Yaakub dari Universiti Malaya berkata PKR dan DAP banyak membantu perkembangan Amanah di Johor yang tidak mempunyai kekuatan akar umbi.

Menurutnya, Amanah perlu berpijak di bumi nyata di Johor dengan bertanding berdasarkan kekuatan sendiri dan jumlah ahli berbanding bergantung kepada kekuatan parti lain.

“Bagi saya itu baru ‘gentleman’ berbanding mendabik dada dengan kekuatan parti lain,” katanya kepada FMT mengulas pengumuman Amanah Johor menyasar bertanding 20 daripada 56 kerusi DUN pada pilihan raya akan datang.

Timbalan Pengerusinya Dzulkefly Ahmad dilaporkan berkata keputusan itu diambil sebagai tanda tidak bersetuju dengan kepimpinan Barisan Nasional negeri yang langsung tiada kemahuan membentuk kerajaan perpaduan seperti di peringkat pusat.

Pada September tahun lalu, Menteri Besar Onn Hafiz Ghazi dilaporkan berkata tiada keperluan menubuhkan kerajaan perpaduan kerana kerajaan negeri ditubuhkan sebelum PRU15.

Bulan lalu, Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook berharap polemik kerajaan perpaduan di Johor dihentikan dan tidak perlu ditimbulkan.

Pada PRN Mac 2022, PH memperuntukkan 20 kerusi kepada Amanah, yang akhirnya terpaksa berpuas hati dengan hanya satu kerusi apabila pilihan raya selesai.

Tawfiq berkata tindakan Amanah akan mengundang perpecahan kepada parti kerajaan perpaduan dan boleh menyebabkan PH hilang lebih banyak kerusi.

“Lebih baik serah kepada pucuk pimpinan tentukan kerusi, tidak perlu pemimpin bawahan (negeri) lebih sudu daripada kuah menentukan bilangan dan kerusi nak ditandingi,” katanya.

Ariff Aizuddin Azlan dari Universiti Teknologi Mara turut senada dengan Tawfik apabila berpandangan Amanah tidak sepatutnya memberi tekanan kepada Umno kerana bakal memberi kesan kepada hubungan PH-BN di Johor.

“Jika pertandingan tiga penjuru berlaku perlu diingatkan saingan juga boleh datang daripada Perikatan Nasional yang kekal konsisten menyasarkan kerusi majoriti Melayu,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.