Ada tanda amaran dengan FV sejak mula, Yii beritahu Pua

Ada tanda amaran dengan FV sejak mula, Yii beritahu Pua

Ahli Parlimen Bandar Kuching Dr Kelvin Yii menyangkal alasan Tony Pua membela kegagalan pelaburan Khazanah dan PNB.

Kelvin Yii n tony pua
Dr Kelvin Yii (kiri) mengiktiraf hujah Tony Pua mempunyai merit, tetapi katanya, siasatan harus tertumpu pada tadbir urus dan akauntabiliti, bukannya ‘pemburuan’ bersifat emosi.
PETALING JAYA:
Seorang Ahli Parlimen DAP menyangkal alasan seorang bekas Ahli Parlimen membela kegagalan pelaburan Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) dalam Fashion Valet Sdn Bhd (FV).

Walaupun mengakui untung rugi adalah sebahagian daripada pelaburan modal teroka, seperti dikatakan oleh Tony Pua, Ahli Parlimen Bandar Kuching Dr Kelvin Yii berkata, terdapat tanda amaran dengan FV sejak mula, seperti ketiadaan akauntabiliti dan pemantauan walaupun setelah bertahun-tahun mengalami kerugian.

“Tiada kakitangan Khazanah mahupun PNB dalam lembaga (FV), yang boleh menguruskan kerugian sejak awal dan menambah nilai kepada syarikat,” kata Yii dalam catatan di platform media sosial X hari ini.

Beliau berkata, sejumlah besar wang tidak boleh disuntik dan dibenarkan diurus tanpa pengawasan di sebalik ‘pelaburan modal teroka berisiko tinggi’.

Merujuk kepada penilaian awal syarikat itu yang dibesar-besarkan, yang menurutnya pernah dianggarkan Khazanah pada RM300 juta, Yii berkata, ‘ini mungkin wajar atau tidak, tetapi (nilai) itu sendiri memerlukan penjelasan dan akauntabiliti’.

“Jika semata-mata sebagai ‘angel investor’, tidak mengapa, tetapi ini melibatkan dana GLC atau GLIC,” katanya.

Walaupun mengiktiraf hujah Pua mempunyai merit, Yii berkata, siasatan tertumpu pada tadbir urus dan akauntabiliti mesti dilakukan, bukannya ‘pemburuan’ bersifat emosi yang boleh menyekat ekosistem modal teroka pada masa akan datang.

Dalam catatan di Facebook malam tadi, Pua yang juga bekas Ahli Parlimen Damansara berkata, kritikan terhadap FV ‘salah arah dan tidak adil’, terutamanya memfokuskan kepada peratusan kerugian sambil mengabaikan konteks modal teroka yang lebih luas.

Pua, yang juga setiausaha politik menteri kewangan dari 2018 hingga 2020 berkata, landskap modal teroka sememangnya berisiko, dengan lebih banyak kegagalan dicatat berbanding kejayaan.

“(Dalam) bidang modal teroka, (kita harus) jangka daripada 10 pelaburan, tiga atau empat akan gagal – seperti Fashion Valet – tiga atau empat (pelaburan) hanya akan menampung kos, manakala dua atau tiga (yang lain) membawa pulangan yang menakjubkan,” katanya.

Dalam jawapan bertulis Parlimen minggu lepas, Kementerian Kewangan mendedahkan Khazanah melabur RM27 juta, manakala PNB melabur RM20 juta untuk memperoleh pegangan minoriti dalam FV pada 2018.

Bagaimanapun, akhir tahun lepas, kedua-dua entiti itu rugi RM43.9 juta selepas menjual pegangan mereka pada harga RM3.1 juta kepada NXBT Partners, sebuah syarikat pegangan pelaburan yang dikawal oleh Afzal Abdul Rahim, Ketua Pegawai Eksekutif TIME dotCom Bhd.

Awal hari ini, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan pihaknya telah memanggil empat saksi daripada Khazanah, PNB dan Kementerian Kewangan untuk disoal siasat, manakala pengasas bersama FV, Vivy Yusof dan Fadzarudin Anuar, akan dipanggil hari ini.

Jumaat lepas, Vivy dan Fadzarudin mengumumkan mereka akan melepaskan jawatan dalam FV dan mengambil tanggungjawab penuh atas kerugian yang ditanggung oleh Khazanah dan PNB.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.