SPRM nafi dakwaan kenyataan temui RM94 juta di rumah bekas menteri

SPRM nafi dakwaan kenyataan temui RM94 juta di rumah bekas menteri

SPRM menegaskan Ketua Pesuruhjayanya Azam Baki tidak pernah mengeluarkan kenyataan penemuan RM94 juta di kediaman bekas menteri.

awang hashim
Pada Sidang Dewan Rakyat, Ahli Parlimen Pendang Awang Hashim berkata dakwaannya berkait penemuan RM94 juta di kediaman bekas menteri adalah berdasarkan kenyataan SPRM dan Azam Baki. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menafikan ketua pesuruhjayanya Azam Baki pernah mengeluarkan kenyataan penemuan RM94 juta di kediaman bekas menteri seperti didakwa Ahli Parlimen Pendang Awang Hashim di Dewan Rakyat, hari ini.

Agensi antirasuah itu berkata SPRM menghormati hak Ahli Parlimen untuk menyuarakan pandangan mereka secara bebas, namun kenyataan dibuat mesti berasaskan fakta tepat untuk mengelakkan kekeliruan.

“SPRM ingin menegaskan sekali lagi bahawa tiada sebarang kenyataan telah dibuat Suruhanjaya ini mahupun ketua pesuruhjaya SPRM berkaitan penemuan jumlah itu di kediaman bekas menteri terbabit,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, sidang Dewan Rakyat kecoh apabila Awang dari Perikatan Nasional membangkitkan isu penemuan sejumlah wang di kediaman milik menteri dari pemimpin DAP.

Awang berkata demikian ketika menyentuh kes yang berlaku baru-baru ini berkaitan Khazanah dan ‘Fashionvalet’ yang dengan mudahnya berhenti dan memohon maaf.

“Begitu juga dengan kes RM94 juta yang mana didapati di sebuah rumah menteri DAP dijumpai RM94 juta sampai sekarang kita tidak tahu setakat mana siasatan telah dibuat dalam Kementerian Sumber Manusia,” katanya.

Ahli Parlimen Jelutong RSN Rayer kemudiannya mencelah dan meminta Awang menamakan menteri dimaksudkan.

Awang bagaimanapun menempelak Rayer dengan menyifatkan beliau mudah melatah apabila menyebut berkenaan pemimpin DAP, “Bila sebut sahaja pasal DAP, dia terus meletop (marah), dia (Rayer) ingat DAP ini malaikat yang suci.”

Beliau menerusi penjelasannya di Dewan Rakyat berkata, dakwaan itu dibuat berdasarkan kenyataan daripada siasatan SPRM.

“Kenyataan ini telah dibuat oleh ketua pengarah (pesuruhjaya) SPRM (Azam Baki) bahawa mereka telah menjumpai RM94 juta di dalam rumah menteri KSM ketika itu.

“Jadi saya hendak tahulah, setakat mana siasatan itu. Sudah lama setahun lebih ini dan menteri pun sudah ditukarkan, maknanya bukan saya tuduhan.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.