Proses pemilihan sempurna, Muhyiddin ucap tahniah JPP

Proses pemilihan sempurna, Muhyiddin ucap tahniah JPP

Sebelum ini seorang pemimpin Pemuda Bersatu persoal sama ada terdapat campur tangan bagi menentukan keputusan pemilihan sayap itu.

Presiden Muhyiddin Yassin menyifatkan proses pemilihan Bersatu bagi penggal 2024-2027 selesai dengan sempurna.
PETALING JAYA:
Presiden Bersatu mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) kerana berjaya melaksanakan tanggungjawab mengendalikan pemilihan ‘dengan baik’.

Muhyiddin Yassin turut menyifatkan proses pemilihan Bersatu bagi penggal 2024-2027 selesai dengan sempurna.

“Saya mengucapkan tahniah kepada semua yang berjaya memenangi pemilihan kali ini. Kepada yang tidak berjaya, teruskan perjuangan,” katanya dalam kenyataan.

“Inilah masa untuk kita bertaut semula dan perkukuhkan parti demi memastikan kelangsungan perjuangan parti dan menghadapi cabaran yang lebih besar di hadapan kita.”

Sebelum ini, seorang pemimpin Pemuda Bersatu mempersoalkan sama ada terdapat campur tangan bagi menentukan keputusan pemilihan sayap itu.

Penolong Setiausaha Muhammad Faiz Rahmad menginginkan penjelasan daripada JPP dan menuntut ‘ketelusan sepenuhnya’.

Selain itu, timbul desas-desus pemilihan kali ini pertembungan antara kem dua pemimpin Bersatu, selain dakwaan ada percaturan supaya individu tertentu diangkat sebagai pemenang.

Pemilihan kali ini menyaksikan jawatan presiden dan timbalan tidak dipertandingkan, Radzi Jidin dan Ronald Kiandee kekal sebagai naib presiden di samping Ahmad Faizal Azumu yang terpilih, dan Hilman Idham menang ketua Pemuda.

Di peringkat ahli Majlis Pimpinan Tertinggi, antara yang terpilih Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (Ahli Parlimen Machang), Saifuddin Abdullah (Ahli Parlimen Indera Mahkota), Rosol Wahid (Ahli Parlimen Hulu Terengganu), dan Afif Bahardin (Adun Taman Medan).

Antara nama besar yang kecundang dalam pemilihan kali ini ialah Rafiq Abdullah (timbalan ketua Bersatu Selangor), Razali Idris (ketua penerangan), dan Redzuan Yusof (Alor Gajah).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.