Perbicaraan kes DSP bunuh pelajar tangguh esok

Perbicaraan kes DSP bunuh pelajar tangguh esok

Hakim membenarkan penangguhan selepas dimaklumkan tertuduh melantik peguam baharu.

Pegawai kanan polis Nazri Abdul Razak didakwa membunuh Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie pada 15 Dis tahun lalu. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Prosiding hari pertama perbicaraan seorang pegawai kanan polis di Mahkamah Tinggi Ipoh yang didakwa menyebabkan kematian pelajar tahun lalu ditangguhkan esok selepas tertuduh menukar peguam.

Hakim Bhupindar Singh Gucharan Singh Preet membenarkan penangguhan itu selepas dimaklumkan tertuduh, Mohd Nazri Abdul Razak melantik peguam baharu, lapor Sinar Harian.

Peguam M Athimulan, Mior Faridalathrash Wahid dan Aiman Hakim Kamaruzzaman akan mewakili pegawai berpangkat Deputi Superintenden (DSP) yang bertugas di IPK Kedah.

“Memandangkan peguam baharu dilantik, saya membenarkan penangguhan sehari sahaja untuk semakan dokumen. Perbicaraan akan bermula esok (Selasa),” kata hakim.

Athimulan memberitahu mahkamah mereka baharu sahaja mengambil alih kes itu pada pagi tadi sebelum prosiding perbicaraan bermula.

“Kami diberikan 30 kenyataan saksi dan sejumlah dokumen serta dokumen tambahan yang mana ia perlu disemak dan diteliti terlebih dahulu.

“Jadi kami minta agar perbicaraan pada hari ini dilapangkan dan ditangguh esok (Selasa),” katanya.

Sebelum ini, Nazri diwakili peguam Jacky Loi Yap Loong, Lim Chi Chau, Lim Jin Wen, Cindy Wong dan M Kuhan.

Pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz, Nasrul Hadi Abdul Ghani, V Suloshani dan Low Qin Hui.

Hadir sama, peguam pemerhati yang dilantik keluarga mangsa, Wan Azmir Wan Majid.

Mengikut pertuduhan, Nazri didakwa menyebabkan kematian Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie, 17, di Jalan Taman Jati 1, dekat SMK Jati, Meru antara 12.05 hingga 12.40 tengah hari 15 Dis lalu.

Dia didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman mati atau penjara minimum 30 tahun dan tidak lebih 40 tahun, jika tidak dihukum mati hendaklah juga dihukum tidak kurang 12 sebatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.